Peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh,Nurul Izzah Anwar sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukan perkara baru, kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
Beliau yang juga adalah menteri perumahan kerajaan tempatan berkata sebelum ini anak sulung presiden parti itu turut melakukan tindakan sama melibatkan jawatan parti dan kerajaan.
"(Keputusan) Nurul Izzah letak jawatan bukan perkara baru sebab dia letak jawatan daripada TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) sebelum ini.
"Kita meraikan pendapat yang berbeza. Semua boleh cakap (keluarkan pendapat) dan terserah kepada presiden (parti Anwar Ibrahim) untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pada 22 Mac, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Peletakan jawatannya dibuat susulan ketidaksefahaman PH mengenai pemilihan kepimpinan PAC.
Pada masa sama, Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang itu berpendapat Nurul Izzah tidak sepatutnya memberikan kenyataan umum mengenai ketidakpuasan hatinya.
Katanya, isu tersebut sepatutnya dibincangkan di kalangan anggota PAC dan menteri yang berkaitan.
“Saya punya reaksi untuk nasihatkan mereka cara terbaik sebab kita dah jadi kerajaan, pasukan PAC itu sendiri jumpa dengan menteri terlibat dan bincang...
“Dapatkan penjelasan... tapi sebelum itu dilaksanakan statement public telah dibuat, saya tak boleh buat apa lah..,” katanya.
Sementara itu, Zuraida juga enggan mengulas mengenai hantaran Twitter Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang menyebutkan bahawa Malaysia memerlukan pemimpin yang akan berjuang sehingga ke saat akhir, dan bukannya pemimpin yang "cengeng".
"Saya tak tahu dia (Azmin) merujuk kepada siapa 'cry babies' sebab saya tak nampak nama tagged (disebut) di situ. Jadi saya tak tahu siapa dimaksudkan," katanya.
Meskipun tidak menyebut nama pemimpin yang dimaksudkan, kenyataan menteri hal ehwal ekonomi itu dipercayai ditujukan buat Izzah yang juga melepaskan jawatan naib presiden PKR yang dimenanginya.