Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah rumah urut: 2 polis, seorang bomba mengaku tak bersalah

Dua pegawai polis dan seorang pegawai bomba mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah daripada pengusaha rumah urut pada tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi hari ini membacakan pertuduhan kepada Ketua Balai Polis Setapak Asisten Superintenden (ASP) Sherman Salleh, 42, anggota polis Lans Koperal, Faizal Miza Zakariah, 35, dan pegawai bomba Mohd Fadzli Jamaluddin.

Dalam pertuduhan pertama, Sherman dan Faizal didakwa secara bersama menerima suapan sebanyak RM3,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Angel Massage Centre di Setapak, Kuala Lumpur.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di situ, antara pukul lapan hingga sepuluh malam pada 27 November 2018.

Dalam pertuduhan kedua, Sherman didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada pengusaha Angel Massage Center antara pukul sembilan hingga sepuluh malam pada 3 Disember 2018.

Dalam pertuduhan ketiga pula, Faizal yang bertugas di Balai Polis Setapak didakwa menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada pengusaha sama, antara sebelas hingga 12 tengah malam pada 11 Januari 2019.

Mohd Fadzli yang bertugas di ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pula dituduh menerima suapan RM500 daripada pengusaha sama sebagai dorongan untuk menyokong permohonan kelulusan lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, antara lapan malam hingga sebelas malam pada 5 November 2018.

Untuk pertuduhan pertama, Sherman dan Faizal didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) Akta sama jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berasingan pula, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 17 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) Akta sama jika sabit kesalahan.

Mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Azura menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap Sherman dan Faizal, dan RM7,000 terhadap Mohd Fadzli, walaupun pendakwa raya Abdul Rashid Sulaiman meminta ia ditetapkan pada kadar RM20,000.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Azura menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS