Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Statut Rome perjanjian longgar, tak kuat
Diterbitkan:  Mar 26, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

PAS menyifatkan pendirian kerajaan menerima Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah kerana ia bukan perjanjian yang ketat dan Malaysia tidak terikat dengan sebarang keputusan dibuat badan itu sekiranya ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata justeru keputusan kerajaan untuk menerima Statut Rome ICC itu sebagai bukan satu masalah, lapor BH.

“Jika Malaysia terima (untuk kes dibawa ke ICC) sekali pun, apabila ada apa-apa penyelesaian diputuskan, (pelaksanaan penyelesaian) mestilah dengan izin kerajaan.

“Kalau negara kita enggan bawa kes ke ICC, ia tak boleh dibawa. Sebab itu (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa Malaysia ada sikap tersendiri.

“Bukan ikut statut ini semata-mata, ada benda yang tidak sesuai dengan kita, kita tidak boleh ikut.

“Kerajaan tidak terikat dengan statut ini sebenarnya. Ia satu perjanjian yang sangat longgar dan tidak kuat,” Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata dalam satu forum di Bangi, malam tadi.

Anggota Parlimen Marang itu berkata demikian mengulas soalan peserta forum yang mahu PAS membantah dan membuat perhimpunan besar-besaran di Putrajaya bagi mendesak kerajaan membatalkan penyertaan Malaysia dalam Statut Rome ICC.

Pada 10 Mac lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mempersoalkan kewajaran Malaysia menyertai Statut Rome ICC dengan mendakwa keputusan itu dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Tunku Ismail berkata, penyertaan Malaysia dalam Statut Rome dibuat secara terburu-buru tanpa pertimbangan menyeluruh dengan mengambil kira implikasi undang-undang yang serius, terutama pada kedaulatan Malaysia dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan mengatakan kerajaan pusat tidak merujuk Majlis Raja-raja Melayu ketika membuat keputusan berkenaan.

Pada 13 Mac lalu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa keputusan negara menandatangani Statut Rome ICC dipersetujui oleh Jemaah Menteri setelah berpuas hati bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong kekal terpelihara.

Beliau berkata kekhuatiran sesetengah pihak bahawa Yang di-Pertuan Agong akan terdedah kepada pendakwaan jenayah di ICC merupakan tanggapan yang salah dan dibuat tanpa kefahaman asas dalam perundangan atau perlembagaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS