Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS sokong ketegasan MB isu jual arak di SIGC
Diterbitkan:  Mar 25, 2019 6:01 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

PAS Negeri Sembilan menyokong penuh ketegasan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berhubung larangan penjualan minuman keras di Seremban International Golf Club (SIGC).

Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata usaha yang dilakukan Aminuddin merupakan tindakan yang tepat biarpun kelab itu bersifat antarabangsa yang dianggotai oleh pelbagai kaum.

Namun, Rafiei dipetik Harakah Daily berkata dalam masa yang sama Aminuddin juga perlu mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan sebagai presiden kelab itu sekiranya pihak tersebut berkenaan enggan mematuhi arahan lapor Harakah Daily.

"Memang wajar beliau bertindak sedemikian, sebagai seorang Islam yang mempunyai kuasa di negeri yang majoriti diduduki oleh orang Islam, itu sepatutnya.

"Cumanya sekarang ini, larangan itu telah ditarik semula maka Aminuddin perlu mengotakan katanya dengan melepaskan jawatan sebagai presiden di kelab itu.

"Itu janji dia, sebab orang yang berjanji ini kalau dia tidak tunaikan janji dia, kita takutlah pula salah satu ciri orang munafik adalah tidak menunaikan janji," kata Rafiei, lapor portal itu lagi.

Rafiei berkata demikian ketika ditanya lidah rasmi PAS itu mengenai penarikan semula larangan penjualan minuman keras di SIGC yang sebelum ini telah dikuatkuasakan pada Ogos tahun lepas selepas Aminuddin dilantik menjadi presiden kelab itu.

Semalam, dilaporkan larangan tersebut telah ditarik semula selepas mesyuarat agung kelab itu sebulat suara menolak larangan yang dikenakan Aminuddin.

Aminuddin sebelum ini menafikan dakwaan mengatakan beliau mengharamkan penjualan minuman keras di SIGC dan menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat secara muafakat oleh jawatankuasa SIGC.

Menteri besar dilaporkan turut mengancam untuk meletakkan jawatan sebagai presiden SIGC sekiranya kelab golf tersebut tidak mengutamakan sensitiviti tempatan.

Mengulas perkara itu, Rafiei berkata peraturan patuh syariah tidak mudah dilaksanakan.

"Kita pun tahu siapa yang sebenarnya lebih berkuasa dalam kerajaan di Negeri Sembilan, kita nampak benda itu," katanya petik Harakah Daily.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS