Sudah tiga hari berlalu selepas kejadian di Restoran Amjal di hadapan Universiti Malaya (UM).
Ketika ini masih ada pihak yang kalau pun bukan dari kalangan orang yang salah faham, mereka adalah pembuli yang menyorok di sebalik papan kekunci mencampur adukkan fakta dan memesongkan cerita sebenar.
Entah bagaimana, selepas kejadian itu, kami disalahfahamkan sebagai pelajar yang berhimpun membuat bantahan. Malaysiakini pula dituduh menukar versi berita.
Sedangkan jelas pada laporan itu, kami berada di sana untuk membuat liputan program, selepas diarahkan editor. Apabila berlaku kekecohan, seperti lazimnya tugas wartawan, kami perlu laporkan.
Mungkin kerana laporan tentang kejadian kami diganggu dan dilemparkan kata-kata kesat ketika bertugas disiarkan tidak lama selepas laporan pergelutan melibatkan pelajar dan penyokong bekas perdana menteri itu dilaporkan.
Ini pengalaman pertama kami seumpamanya. Kami seperti ingin memberitahu seluruh dunia bahawa kami cuma wartawan pelatih yang menjalankan tugas yang diberikan.
Satu hal yang kami mahu tegaskan. Kami diganggu dan dilemparkan kata-kata kesat oleh pemimpin Umno dan penyokong Najib yang marah dengan laporan Malaysiakini berhubung kejadian pergelutan melibatkan pelajar.
Dan kami bukan pelajar yang berhimpun di seberang jalan memegang plakad anti-Najib.
Sudah menjadi tugas
Sekitar pukul 2.15 petang Jumaat itu, kami tiba di tempat tugasan yang terletak berhampiran salah satu pintu masuk Universiti Malaya (UM).
Selepas parkir kenderaan, kami terus melangkah ke arah Restoran Amjal, tempat bekas perdana menteri Najib Razak dijangka hadir bagi program sembang santainya.
Restoran Amjal, menurut yang kami difahamkan adalah tempat yang bukan asing lagi dengan program politik. Sebelum pertukaran kerajaan pusat, tingkat dua restoran masakan Melayu itu merupakan tempat pembangkang membuat program ceramah.
Bekas perdana menteri kemudian tiba, program lantas dimulakan. Seperti biasa, kami perlu mendengar dengan teliti sambil menyalin nota.
Tidak lama selepas Najib berucap, terdengar kekecohan di aras bawah, yang seperti datang dari seberang jalan.
Kami memutuskan untuk membahagikan tugasan. Saya (Ramieza) jaga tingkat atas, sementara Mariam memantau keadaan di bawah.
Sudah menjadi sebahagian tugas kami untuk mengetahui keadaan sepanjang program berlangsung. Bukanlah hobi atau niat menyibuk, seperti yang sering dikatakan di ruangan komen media sosial.
“Ada pelajar kena cekik, aku dapat tangkap gambar dan video,” kata Mariam dengan suara mengah melalui telefon.
Saya meminta Mariam untuk terus berada di bawah dan memaklumkan perkembangan kepada sub editor yang berada di pejabat.
Arahan dari pejabat, kami perlu buat flash, istilah yang sebelum ini sering diucapkan kepada wartawan yang sudah lama berkhidmat.
Kini, kami yang perlu membantu melakukan flash, iaitu ringkasan berita yang disiarkan terlebih dahulu sebelum berita penuh dimuat naik.
Kami kemudian membekalkan maklumat-maklumat asas kepada sub editor, untuk dijadikan flash.
Dilemparkan kata-kata kesat
Selepas selesai sidang media, saya turun bawah untuk mendapatkan Mariam dan berbincang berita yang perlu ditulis.
Ketika melangkah turun, dari jauh saya melihat Mariam dikerumuni orang ramai, sesekali terdengar kata-kata kesat dilemparkan.
“Kau dari mana?” tanya lelaki tersebut. Mariam menjawab: “Malaysiakini”. .
Lelaki itu kemudian menunjukkan paparan telefon bimbitnya yang tertera laporan Malaysiakini bertajuk 'Kecoh! Penyokong Najib bergelut dengan pelajar'.
Lelaki itu kemudian meminta Mariam menghubungi editor untuk menukar tajuk tersebut, kerana menurutnya, tajuk itu tidak betul dan dia serta rakan-rakannya hanya ingin "menyelamatkan" pelajar-pelajar tersebut.
(Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam selepas kejadian itu mendakwa pelajar diserang oleh orang lalu-lalang yang marah, sementara dia dan ahli Umno lain cuba selamatkan mereka).
Ketika itu, seorang lelaki berbadan besar dan tinggi mendekati Mariam. Mariam kemudian meminta dia menghormati ruang peribadinya, namun dibalas dengan kata-kata kesat.
Beberapa individu lain turut melemparkan caci-maki dari belakang.
Dalam kekecohan itu, saya segera mencapai tangan Mariam dan membawanya beredar dari kerumunan orang ramai itu.
Ketika beredar, kami diekori individu yang memakai pakaian biasa yang memperkenalkan diri sebagai polis.
Kerana masih takut, kami tidak berhenti sehingga salah seorang dari mereka menunjukkan kad kuasanya.
Mariam diminta untuk menyerahkan kad pengenalan dan kad media sebelum gambar kedua-dua kad tersebut diambil dan diserahkan semula kepadanya.
Sementara itu, beberapa individu lain masih mengekor kami sambil menjerit. Mujur petugas media lain yang berada di situ membantu menahan dan menenangkan mereka.
Setelah itu, kami bergegas masuk ke dalam kereta yang parkir di tepi restoran.
Di dalam kereta, dengan tangan yang menggigil memegang stereng, saya mendengar bunyi kereta diketuk dari luar. Tanpa berlengah lagi, kami beredar dari tempat kejadian dan terus kembali ke pejabat.
Saya toleh sebelah, pipi Mariam basah dengan air mata.
Pengalaman yang tak boleh dijual beli
Ketika pulang rumah pada malam itu. Sewaktu melipat sejadah usai solat Maghrib, ibu menghampir saya. Membawa minyak untuk merawat luka di tangan akibat kejadian petang tadi.
Terdetik di hati, kerisauan ibu kini mesti menggunung. Mengenangkan nasib anak gadisnya. Kini timbul rasa bersalah bersarang di dada.
“Anak ingat, biar orang buat kita jangan kita buat orang,” pesan ibu sambil menyapu minyak. Rasa pedih dan hiba ditahan. Saya tidak mahu kerisauan ibu berganda saat melihat air mata tumpah.
Anggukan tanda faham, kerana saya tahu pada ketika itu yang ibu risaukan adalah keselamatan anaknya.
Ketika cuba memejamkan mata malam itu, bayangan kejadian itu muncul semula. Lampu bilik dibuka kembali. Terasa peluh di badan. Suhu penghawa dingin pada tahap 16 darjah celcius.
Trauma. Ya, tak dapat dinafikan lagi. Itu yang saya sedang rasa ketika itu.
Saya capai telefon, dan hubungi Mariam. Kami berkongsi rasa yang sama. Kejadian ini sungguh berat buat kami berdua.
Trauma yang dilalui Mariam sebenarnya lebih hebat. Tangannya tercedera. Dia juga diherdik, tetapi herdikan yang dia terima lagi teruk.
Jika ingin dibandingkan situasi kami, dia ibarat dilanda taufan, padahal saya cuma terkena tempias hujan.
Dia lah yang berada di seberang jalan ketika kekecohan berlaku, sementara saya berada di tingkat atas mendengar ucapan bekas perdana menteri.
Berani orangnya. Sungguh. Niat kami sama, sekadar wartawan pelatih yang sedang belajar untuk menyampaikan maklumat yang tepat.
Tidak syak lagi, jalan yang kami pilih untuk menjadi wartawan, adalah jalan yang penuh cabaran. Banyak risiko yang harus ditanggung. Namun, kejadian itu hanya menguatkan azam kami.
Walaupun kesal dengan yang terjadi, kami bersyukur kerana beroleh pengalaman yang tak mampu untuk dijual beli.