Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pencemaran sisa kimia: 2 pengarah didakwa lagi dengan 15 pertuduhan

Dua pengarah sebuah syarikat pemprosesan tayar terpakai yang semalam didakwa melupuskan buangan terjadual ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sekali lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, masing-masing atas 15 pertuduhan baru.

Pertuduhan berkenaan membabitkan tujuh kesalahan bersabit pembuangan terjadual dan lapan melibatkan kesalahan pencemaran udara bersih pada awal bulan ini.

Wang Jing Chao, 34, warga Singapura dan Yap Yoke Liang, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual itu, Wang dan Yap didakwa gagal membuat pemberitahuan tentang buangan terjadual yang dihasilkan dalam masa 30 hari dari tarikh pengeluaran buangan terjadual seperti ditetapkan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan itu pada 11 Mac kira-kira 12.25 tengah hari di P Tech Resources Sdn Bhd di PLO 113, Jalan Nibong 2, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih pula, Wang didakwa gagal menjalankan pemantauan berkala di bawah peraturan sama manakala Yap pula dituduh gagal menyelenggara rekod bagi proses pengilangan dan pemantauan prestasi sistem kawalan pencemaran udara, sebagaimana ditentukan peraturan tersebut.

Kesalahan itu turut dilakukan kedua-duanya di tempat, masa dan tarikh yang sama. Oleh itu, kedua-duanya boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula dan membenarkan setiap tertuduh dijamin RM15,000 seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual dan RM3,000 seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih.

Mahkamah turut mengarahkan Wang dan Yap diikat jamin dengan seorang penjamin namun penjamin Wang haruslah warga Malaysia dan perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 haribulan sehingga kes saman itu, selesai.

Proses pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal manakala Wang dan Yap diwakili peguam G. Subramaniam Nair.

Sementara itu, pada prosiding yang sama, pendakwaan turut mengemukakan 15 pertuduhan sama ke atas kilang iaitu P Tech Resources Sdn Bhd.

Wang dan Yap yang menjadi wakil syarikat itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Semalam, Wang dan Yap didakwa atas satu pertuduhan melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lepas di mahkamah sama.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah atas dan Yap dibenarkan diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah manakala Wang yang merupakan warga Singapura, tidak ditawarkan jaminan.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS