Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy beri markah 'D' kepada prestasi PH
Diterbitkan:  Mar 24, 2019 12:12 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi markah lulus saja terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas sepuluh bulan mentadbir negara.

Dalam wawancara bersama R.AGE, Khairy yang memantau portfolio kewangan dalam kabinet bayangan BN berkata ini kerana ada banyak isu ekonomi - dan juga isu lain - yang belum diselesaikan.

"Markah 'D'... Bukan 'F' kerana saya rasa ada beberapa perkara yang mereka cuba lakukan, tetapi tentunya bukan 'C' kerana kebanyakan janji manifesto mereka tidak dilaksanakan," katanya seperti dipetik akhbar sisipan The Star itu, hari ini.

Berkenaan ekonomi, Khairy mendakwa beliau menerima banyak makluman daripada golongan perniagaan berkenaan pelaburan yang perlahan disebabkan kurangnya hala tuju daripada kerajaan, selain faktor ekonomi global.

"Kos sara hidup tidak berubah. Walaupun sudah sembilan bulan, tiada petanda tentang hala tuju kerajaan untuk meringankan kos sara hidup," katanya lagi.

Selain isu ekonomi, Khairy juga mendakwa kerajaan gagal memberi respons yang memadai untuk memadam rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu sejak PRU lalu.

"Orang boleh kata Umno dan PAS meningkatkan ketegangan kaum dan agama, tetapi anda juga boleh kata kerajaan membuat kesilapan dalam respons (mereka) terhadap rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu.

"Mereka dilihat kekurangan dalam banyak perkara, bukan saja ekonomi, tetapi juga (berkenaan) masyarakat," katanya lagi seperti dipetik.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga berkata keyakinan rakyat keseluruhan terhadap kecekapan menteri PH sangat pelbagai, dengan ada yang menunjukkan prestasi yang baik dan ada juga bergelut untuk menjalankan tugas.

 Baginya secara peribadi, Khairy menamakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo sebagai antara yang paling menonjol dalam jemaah menteri.

"Saya nilai berdasarkan interaksi mereka di Parlimen, maka jika Anthony atau seseorang seperti Gobindh menjawab soalan, mereka menjawab dengan profesional dan terus, manakala yang lain merapu, mengelak atau menyerang.

"Saya rasa selepas sembilan bulan, anda memang perlu melangkah ke hadapan," katanya lagi.

Menjelang ulang tahun pertama pentadbiran PH, wartawan veteran A Kadir Jasin baru-baru ini berkata sudah tiba masanya menteri membuktikan mereka bukan "badut dan watak jenaka".

Beliau berkata ia perlu bagi mengembalikan keyakinan rakyat yang kian merosot seperti yang dapat dilihat dalam keputusan PRK Cameron Highlands dan Semenyih mutakhir ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS