Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang didakwa dikasari semasa bantahan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, hari ini berkata pada masa lalu dia juga ikut mengambil bahagian dalam beberapa tunjuk perasaan memprotes pemimpin kerajaan PH tetapi tidak pernah diganggu oleh penyokong mereka.
Wong Yan Ke menarik perbandingan antara protes semalam dan satu lagi tunjuk perasaan yang disertainya ketika membantah pelantikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
"Apabila Maszlee dilantik, saya di sana bersama rakan siswa Asheeq Ali Sethi Alivi dan Siti Nurizzah Tazali serta aktivis pelajar lain untuk membantah pelantikan beliau," katanya ketika ditemui di Balai Polis Pantai Bahru.
Pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM pada September 2018 tidak disambut baik kumpulan pelajar dan selepas itu berlangsung beberapa siri tunjuk perasaan.
Kedua-dua Asheeq dan Siti Nurizzah ditangkap selepas bantaha yang diadakan di Kementerian Pelajaran. Bagaimanapun, Maszlee melalui pegawainya merundingkan pembebasan aktivis pelajar tersebut.
Maszlee kemudian bertemu kumpulan pelajar pada bulan yang sama dan mereka sekali lagi membantahnya. Menteri pendidikan akhirnya melepaskan jawatannya sebagai presiden UIAM pada November 2018.
"Protes yang senyap adalah amalan hak demokratik dan perlembagaan kita. Semua protes itu berlangsung dengan aman tanpa sebarang bentuk gangguan," katanya.
Menjelaskan lanjut, Wong berkata keadaannya cukup berbeza dengan bantahan terhadap Najib semalam.
"Bagaimanapun, situasi itu berbeza semalam, di mana rakan-rakan Umany dan saya membantah secara senyap kira-kira 35 kaki dari restoran (yang dihadiri Najib).
"Kami diserang dengan pelbagai perkataan kasar dan diancam dengan keganasan seperti 'pecah kepala'.
"Jadi, saya di sini bertanyakan kepada Najib. Seseorang pemimpin itu sepatutnya bersedia untuk dipersoalkan, jadi kenapa kamu tidak boleh (disoal), memandangkan kamu selalu mengisytiharkan diri sebagai 'bos'? Apa yang kamu takut? Adakah kamu takut hilang penyokong jika kebenaran diketahui?" Soalnya.
Semalam Wong, yang memegang plakad karikatur menyindir Najib berwajah badut telah dikasari penyokong bekas perdana menteri ketika bekas Najib sedang berucap dalam program santai di Restoran Amjal yang terletak di hadapan pintu masuk ke Universiti Malaya.
Wong dan enam ahli Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) kemudian dibawa oleh polis ke balai polis Pantai Dalam untuk 'dilindungi'.
Sementara itu, semalam Najib menjelaskan individu yang dikaitkan dengan keganasan dengan kumpulan pelajar ketika acaranya di Kuala Lumpur petang tadi bukan anggota Umno.
“Dia bukan anggota parti dan tidak terlibat dengan ceramah.
"Dia, saya difahamkan, hanya lalu dan masuk campur ketika kekacauan itu berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.