Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Tujuh pelajar daripada Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan penyokong Najib Razak petang tadi mempersoalkan mengapa mereka diperlakukan sedemikian rupa.

Sedangkan kata mereka, mereka hanya pelajar biasa yang menggunakan hak berhimpun, tanpa melakukan sebarang provokasi terhadap pihak yang menyerang mereka itu.

“Kami hanya buat perhimpunan aman, berdiri di stesen bas sambil memegang plakad dan sepanduk dengan muka badut Najib, itu saja. Kenapa penyokong Najib serang kami?

“Harap mereka pandang serius terhadap tindakan samseng itu, cekik, tarik rambut, tampar, cakar saya, dan juga jeritkan kata-kata berunsur perkauman. Kenapa buat macam tu?

“Hormatilah hak kami untuk buat perhimpunan aman. Jangan tarik kami dalam permainan anda. Kami hanya pelajar biasa. Hormati kami,” kata presidennya Wong Yan Ke.

Beliau berkata demikian setelah mereka keluar dari Balai Polis Pantai pada jam 8.35 pm, selepas selesai memberikan keterangan selama lebih tiga jam.

Jelas Wong, mereka memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat oleh penganjur program santai Najib Razak di Restoran Amjal petang tadi.

“Mereka (polis) masih mempertimbangkan sama ada untuk membuka kes atau tidak. Kami diminta memberi keterangan kerana penganjur membuat laporan polis (terhadap kami).

“Polis kata ini ialah prosedur standard,” katanya lagi.

Sementara bagi pihak mereka pula, katanya, laporan polis hanya akan dibuat esok kerana masing-masing kepenatan setelah selesai memberikan keterangan.

Mengulas dakwaan penyokong Najib di media sosial bahawa mereka memulakan provokasi, Wong menegaskan bahawa perkara itu adalah tidak benar.

Kata mereka, hanya setelah penyokong Najib menyerang mereka di stesen bas, barulah mereka mengeluarkan kenyataan seperti ‘ini hak kami berhimpun’ dan ‘penipu’.

“Semasa mereka serang kami, baru cakap. [...] Tapi sebelum itu tak ada,” katanya lagi.

Wong memberitahu pemberita, maklumat tentang laporan polis yang akan dibuat esok akan dimaklumkan kemudian.

Dalam insiden petang tadi, pergelutan berlaku antara pelajar terbabit dengan penyokong Najib ketika Najib sedang berucap di Restoran Amjal.

Pelajar tersebut memegang plakad mengandungi slogan "penipu" dan "mana RM2.6 bilion", serta gambar badut yang menyerupai Najib.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan dan sentuhan fizikal.

Wong merupakan pelajar yang dilihat dicekik dari belakang dan ditarik rambut sebelum dikerumuni beberapa individu lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS