Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pelajar itu patut berterima kasih pada pemimpin Umno'
Diterbitkan:  Mar 22, 2019 8:49 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam berkata, pelajar Universiti Malaya (UM) yang dicekik dari belakang dalam satu kejadian hari ini sepatutnya berterima kasih kepada beberapa pemimpin Umno kerana menyelamatkannya daripada dipukul.

Lokman berkata, kejadian itu berlaku selepas pelajar berkenaan yang juga Presiden Persatuan Belia Baru UM (Umany), Wong Yan Ke cuba menghalangnya daripada mengoyakkan gambar 'jelik' bekas perdana menteri Najib Razak.

"Ketika saya mengoyakkan gambar tersebut, penyokong DAP tadi cuba menghalang saya. 

"Beliau kemudiannya dihalang dan ditarik oleh beberapa individu yang berada di tempat kejadian.

"Pelajar tersebut sepatutnya bersyukur kerana beberapa orang pemimpin Umno berada di tempat kejadian dan menghalang beliau daripada dipukul oleh orang ramai yang menyirap melihat kebiadapan mereka," katanya.

Terdahulu, sekumpulan pelajar berhimpun sambil memegang karikatur selain plakad memaparkan perkataan 'Najib Tak Malu' dan 'Pulangkan Duit Rakyat' ketika bekas perdana menteri itu berucap dalam program di sebuah restoran hari ini.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri kumpulan pelajar tersebut dan cuba merampas plakad berkenaan, yang seterusnya membawa kepada pergelutan.

Dalam kekecohan itu, Lokman dilihat mengoyakkan karikatur badut yang dipegang salah seorang pelajar.

Daripada klip video kejadian, salah seorang pelajar dilihat dicekik dari belakang.

Menurut Lokman, sekiranya provokasi tersebut dilakukan tanpa menggunakan gambar jelik Najib Razak, beliau akan membiarkan mereka menggunakan hak mereka untuk berhimpun.

"Namun, bacullah kami jika membiarkan bangsa DAP yang biadap ini meneruskan kebiadapan mereka terhadap pemimpin kami.

"Melihat provokasi tersebut, saya telah mendekati pelajar tersebut dan bertanya dengan beliau sama ada gambar jelik yang dipegang adalah gambar beliau.

"Maka bila beliau tidak menjawab, saya telah menegaskan kepada beliau bahawa ini gambar menghina Datuk Seri Najib, lalu saya merampas dan mengoyakkannya," kata Lokman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS