Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Singkatan ejaan pada gegantung tak martabatkan bahasa Melayu- DBP

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganggap penggunaan singkatan ejaan pada kain rentang dan gegantung sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak 2019 sebagai tidak memartabatkan bahasa Melayu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata dari segi bahasa Melayu, ia merupakan satu kesalahan ejaan, sambil beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan penggunaan ejaan yang betul, hasrat sambutan itu mungkin lebih difahami khalayak ramai.

“Saya faham, ini untuk tujuan gimik dan menarik perhatian, tetapi tidak kena pada tempatnya. Kita sudah ada sistem ejaan yang mantap, dan fungsi bahasa Melayu itu sendiri adalah untuk berkomunikasi.

“Dari satu segi, strategi ini mungkin salah. Daripada meminta orang berjimat air, isu lain yang timbul. Isu hendak dikemukakan kepada masyarakat tidak sampai,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata DBP menghargai dan memuji usaha kerajaan negeri kerana memilih bahasa Melayu tetapi berharap ia tidak berulang kerana dari segi keindahan bahasa ibunda itu telah hilang.

Penggunaan singkatan ejaan pada kain rentang dan gegantung tertera perkataan ‘PNGUNA BJAK SNTIASA BRJMAT’ (pengguna bijak sentiasa berjimat) digantung di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, dikritik netizen yang menyifatkannya sebagai ejaan untuk komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp atau WeChat sahaja.

Terdahulu, Pengurus Besar Lembaga Air Perak Datuk Mohd Yusof Mohd Isa menjelaskan penggunaan singkatan ejaan itu hanyalah gimik bagi menarik perhatian orang ramai khususnya generasi muda.

Beliau berkata gimik itu dibuat selepas mengambil kira trend generasi muda kini yang gemar menggunakan singkatan dalam ejaan khususnya menerusi media sosial.

Pejabat Menteri Besar ketika dihubungi mengambil maklum mengenai gaya pengunaan ejaan tersebut dan menyatakan ia adalah gimik betujuan menimbulkan kesedaran mengenai kempen menjimatkan air.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS