Manfaat kos untuk membina lebih banyak jambatan antara Malaysia dan Singapura perlu dikaji, menurut Menteri Kanan Emeritus Singapura Goh Chok Tong.
"Mahathir mahu membina lebih banyak jambatan antara Malaysia dan Singapura. Manfaat kos perlu dikaji," kata catatan bekas perdana menteri republik itu dalam laman Facebook beliau.
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mac berkata Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan lagi untuk memudahkan aliran trafik antara kedua-dua negara.
Dr Mahathir berkata berbanding Pulau Pinang, yang kini merancang untuk membina jambatan ketiga ke tanah besar dalam bentuk terowong, aliran trafik di Singapura jauh lebih besar.
Ketika mengkaji manfaatnya daripada segi kos, Goh melahirkan harapan bahawa kedua-dua pihak mula “membina lebih banyak “jambatan” politik dan muhibah antara pemimpin, anggota parlimen dan rakyat kedua-dua negara."
"Hubungan antara rakyat kedua-dua negara semakin renggang sejak Pemisahan, dan generasi seterusnya akan mendapati mereka lebih tidak mengenali antara satu sama lain.
"Saya menyokong hubungan rapat dan kukuh antara Malaysia dan Singapura, baik fizikal mahupun politik. Kita adalah jiran dan kekal berjiran selama-lamanya," menurut beliau dan mengakhiri postingnya dengan initial GCT.
Pada 9 Ogos, 1965, Singapura berpisah dari Malaysia.
Kedua-dua negara dihubungkan oleh dua jambatan melalui Tambak dan Link Kedua.
Bernama