Pihak pengurusan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya membuat laporan polis berhubung penganjuran program melibatkan bekas pengerusi BN Najib Razak di masjid itu yang direncanakan esok.
Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, laporan itu berkata pihak pengurusan masjid tidak dimaklumkan lebih awal berhubung program berkenaan.
"Tujuan laporan polis ini dibuat adalah sebagai perlindungan diri bimbang perkara yang tidak diingini berlaku kerana program tersebut tidak dimaklumkan terlebih awal kepada pihak masjid," kata laporan polis itu.
Dalam perkembangan sama, Ketua Amanah Lembah Pantai Mohd Hishamuddin A Hamid menyifatkan program itu sebagai memperalat masjid.
"Amanah Lembah Pantai mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan institusi mulia seperti masjid bagi meraih sokongan dan simpati kepada mereka.
"Program seperti yang disebarkan mungkin suatu propaganda murahan berikutan kekalahan golongan pro rejim lama dalam pilihan raya kampus UM baru-baru ini,” katanya seperti dipetik Malaysia Dateline.
Laporan portal itu turut memuat naik grafik poster bertajuk Sembang Santai Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Bersama #Bossku, yang dipercayai merujuk kepada program yang dimaksudkan.
Sehubungan itu, Hishamuddin turut menggesa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan.
"Kami berpendapat pihak Jawi semestinya perlu bertindak supaya institusi masjid tidak tercemar dari kepentingan pihak tertentu," katanya.