Seorang posmen membuat aduan kepada polis dengan mendakwa isterinya terus digoda anggota keselamatan yang dipercayai bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.
Menurut lelaki berusia 30 tahun itu, setakat ini dua laporan polis dibuat ke atas lelaki terbabit, masing-masing pada Ogos 2018 dan Febuari lalu.
Katanya laporan kedua dibuat apabila dia mendapati tidak ada sebarang perkembangan lanjut berhubung laporan pertama yang dikemukakannya.
Menurut lelaki terbabit, dalam laporan pertamanya - yang ditunjukkan kepada Malaysiakini - dia mendakwa isterinya dan tertuduh bertemu kali pertama di Pulapol pada 2014 ketika menyertai latihan Muay Thai di sana.
Katanya, si isteri yang berusia 32 tahun mengaku bahawa tertuduh menghantar mesej berbaur lucah melalui aplikasi WhatsApp dan insiden itu didedahkan kepada ibunya pada 2014.
"Ibunya menasihatkan isteri saya untuk mengabaikan mesej tersebut kerana dia tidak mahu memanjangkan isu ini dan melindungi imej tertuduh sebagai seorang anggota polis," katanya dalam laporan itu.
Bagaimanapun, lelaki itu mendakwa tertuduh terus-menerus mengganggu isterinya sehingga kini.
Dalam laporan kedua, lelaki itu berkata selepas tujuh bulan laporan pertama dibuat tidak ada perkembangan siasatan dimaklumkan.
Keadaan itu kata posmen berkenaan menyebabkan dia mengalami kemurungan dan perkara itu turut disahkan doktor.
Sementara itu Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi menafikan dakwaan bahawa polis tidak menyiasat laporan yang buat mangsa.
"Tidak benar. Penyiasatan dimulakan dan kami telah mencatatkan kenyataan daripada tertuduh," katanya.
Ahmad Dzaffir juga berkata beliau akan meminta pegawai penyiasat mengendalikan kes itu untuk menghubungi pengadu.