Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Selepas diberikan peluang mencabar perintah penggantungan yang dibuat tanpa kehadirannya pagi tadi, MP Tanjong Karang (BN) Noh Omar petang ini menerima keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof untuk mengekalkan perintah berkenaan.

"Keputusan yang amat mengejutkan dibuat oleh timbalan speaker (Nga Kor Ming). Saya digantung tiga hari tanpa pengetahuan saya.

"Saya hormat keputusan speaker Ariff. Tak hormat keputusan Nga Kor Ming. Tak akan tarik balik kenyataan (semalam)," katanya kepada pemberita di lobi parlimen selepas menerima perintah penggantungannya daripada sidang parlimen selama tiga hari.

Mohamad Ariff, yang memulakan semula sesi Dewan Rakyat sekitar jam 2.30 petang tadi, berkata beliau mengambil maklum terhadap bantahan Noh dan memberi peluang kepada anggota parlimen Umno itu untuk membela dirinya terhadap keputusan Nga.

Semalam Noh berkata MP Telok Intan 'tidak layak' menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nga pada permulaan prosiding Dewan Rakyat mengeluarkan perintah menggantung Noh selama tiga hari terhadap dakwaan menghina Dewan Rakyat dan speaker ketika MP Umno itu membahaskan titah Yang Di-Pertuan Agong semalam.

Nga berkata keputusan itu diambil kerana kenyataan Noh itu adalah satu penghinaan kepada institusi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Tanjong Karang dengan jelas sengaja menghina majlis mesyuarat (sidang parlimen) atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi, (serta) tohmahan yang pengerusi (speaker) tidak layak memegang jawatan itu... Ia adalah perbuatan menghina majlis atau penghinaan terbuka kepada pengerusi.

"Oleh yang demikian, berdasarkan kuasa kepada saya, saya memerintah Tanjong Karang keluar dari majlis mesyuarat bagi tempoh tiga hari, iaitu pada 19, 20 dan 21 Mac," katanya.

Semalam, Noh menyifatkan Nga tidak layak memegang jawatan itu susulan kenyataannya sebelum ini bahawa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang ditadbir Taliban jika Umno dan PAS membentuk kerajaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS