Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tetap akan saman semua wakil rakyat lompat parti

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini mengesahkan akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang keluar parti selepas gabungan BN ditumpaskan pada PRU14.

Mengulas lanjut laporan bahawa Umno kemungkinan tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya, Annuar berkata laporan tersebut sebagai tidak tepat.

“Laporan itu tidak tepat. Saya baca di Malaysiakini tulis sesuatu pasal Umno tidak saman.

“Saya ingin mengesahkan adalah tidak benar laporan Umno menarik balik saman terhadap bekas wakil rakyat parti tersebut kerana kos yang tinggi,” katanya menjawab soalan pemberita di lobi parlimen.

Annuar Musa

Malaysiakini semalam memetik laporan The Malaysian Insight yang menyatakan sumber Umno memberitahu bahawa parti itu tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya.

Memetik sumber, portal itu melaporkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilapor berpendapat adalah lebih baik parti itu menumpukan usaha untuk mengukuhkan parti, selain faktor kos menjadi pertimbangan.

Sementara itu, Annuar yang juga MP kawasan parlimen Ketereh berkata Umno akan menyaman kesemua ADUN dan MP yang bertindak keluar daripada Umno.

“Saya boleh pastikan hari ini kesemua ADUN dan MP yang meninggalkan parti akan disaman.

“Lebih kurang 30 daripadanya, 20 dari Sabah dan lagi 10 ADUN dan MP dari semenanjung masing dua ADUN di Johor dan Perak serta satu di Kedah akan diheret,” jelasnya.

“Jadi tiada sesiapa tertinggal,” katanya sambil menambah bahawa partinya tidak akan berkongsi maklumat kos guaman kepada awam.

Tambahnya, beliau telah berbincang dengan Mohamad dan bendahari Umno dan juga peguam yang mengendalikan kes ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS