Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada syarikat kerajaan mungkin disenaraikan di bursa
Diterbitkan:  Mar 19, 2019 12:36 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Malaysia mungkin menyenaraikan beberapa syarikat milik kerajaan di Bursa Malaysia untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan langkah kerajaan untuk menambahkan hasil bagi merancakkan kedudukan fiskalnya, lapor Reuters.

Pentadbiran Mahathir kini menyalahkan kerajaan terdahulu kerana 'mewariskan' hutang dan liabiliti lebih RM1 trilion.

Panel kerajaan untuk mengurangkan hutang sedang melihat beberapa strategi, antaranya mengenal pasti potensi pengewangan aset melalui penyenaraian syarikat tertentu di pasaran saham.

Beliau tidak menyebut secara khusus syarikat berkaitan atau tempoh masa bagi rancangan itu.

[Baca berita asal]

Berucap pada persidangan Invest Malaysia 2019, di Kuala Lumpur, hari ini, Mahathir berkata kerajaan mungkin akan menyenaraikan beberapa entiti miliknya yang sudah matang ke Bursa Malaysia.

Katanya, tambahan daripada itu, kerajaan juga sedang meneliti untuk mengurangkan pegangan saham milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di dalam syarikat yang disenaraikan.

“Ini bertujuan memastikan pengawalan risiko yang lebih baik terhadap penerbitan Jaminan Kerajaan, akses pasaran lebih baik dan mengenalpasti peluang dalam penjualan aset yang berpotensi.

“Seharusnya tiada gangguan terhadap pasaran modal, keyakinan terhadap pasaran kewangan, persekitaran penilaian dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dr Mahathir, berkata prinsip utama untuk meraih hasil daripada mana-mana aset kerajaan ialah pelupusan atau penjualan tidak boleh dilakukan pada harga yang sangat murah dan rendah.

“Sebarang pelupusan saham, penjualan aset, lelongan atau langkah-langkah lain akan dilakukan dengan teratur dan dilaksanakan secara menyeluruh di semua syarikat berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata, biarpun kehadiran GLC sering dianggap menyesakkan sektor swasta, namun itu bukanlah tujuan sebenarnya.

“Hasrat kami adalah untuk GLC memainkan peranan sebagai pemangkin tertentu untuk menyokong ekonomi.

“Kami ingin mempelawa sektor swasta menyertai GLC dalam memenuhi beberapa agenda ekonomi negara," katanya.

Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd awal bulan ini mengumumkan strategi baharu, yang menjelaskan ia bersedia untuk menjadi penyedia pulangan jangka panjang sebenar kepada kerajaan melalui pelaburan komersial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS