Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

ULASAN l Semenjak Umno dan PAS berunding untuk mengukuhkan kesatuan orang Melayu, pelbagai kata nista dilemparkan. Umno dan pemimpinnya digelar ‘Malay supremist’, rasis dan pelbagai gelaran lain. Umno dituduh menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh bahawa kerjasama Umno-PAS adalah a declaration of war against the non Malays atau 'perisytiharaan perang terhadap bukan Melayu'.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pula menyokong kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang berspekulasi bahawa kerjasama orang Melayu Islam Umno-PAS akan boleh menjadikan Malaysia sebagai negara Taliban (pertubuhan pengganas di Afghanistan).

Kita terfikir. Mengapa sangat kita cuba memperkasa perpaduan yang semakin menipis, mereka dengan rakus memperkosanya dengan rasa prejudis? Pada saya, semua tindakan melulu, malah celupar, sebegini menghantar dua isyarat jelas.

Pertama DAP dan sekutunya amat gerun dengan cabaran yang akan mereka tempuhi apabila orang Melayu bersatu pada tahap yang tidak pernah terlihat sebelum ini.

Yang risau, tidak senang dan berasa tergugat bukannya masyarakat bukan Melayu secara umum. Tetapi hanya DAP dan sekutunya Bersatu, yang tidak mewakili suara bukan Melayu yang lain.

Kebatilan dan kejahilan

Mereka sangat sedar bahawa dampak kesatuan orang Melayu yang luar biasa akan melenyapkan DAP dan Bersatu dari persada kuasa.

Mereka tahu, naratif no religion no race Malaysian Malaysia tidak akan diterima, ditolak dan ditentang oleh orang Melayu. Mereka juga sedar bahawa Bersatu sehingga sekarang tidak boleh menjadi alternatif yang diterima kepada perjuangan politik bangsa Melayu.

Kedua, semua tindakan DAP menggambarkan betapa mereka selama ini hidup dalam kebatilan dan kejahilan.

Bagaimana mungkin kesatuan orang Melayu itu disamakan secara membuta tuli dengan ‘perang terhadap bangsa bukan Melayu’. Tiada akal yang waras dapat menerima hujah yang sangat dangkal, sempit dan tidak bertanggungjawab sebegini.

Ternyata pimpinan DAP sangat jahil tentang perjalanan, pengalaman, sejarah dan aspirasi politik Umno dan PAS. Malah, aspirasi dan amalan bernegara di Malaysia.

Sanubari kaum

Oleh itu, tanggungjawab moral perjuangan Umno dan PAS selepas ini bukan sahaja untuk memperkukuhkan kesatuan bangsa Melayu dan orang Islam. Tetapi juga melakukan ikhtiar memerangi ‘kebatilan dan kejahilan DAP’ atau apa yang saya panggil the war against ignorance.

Kerana jika tidak dibendung, kejahilan DAP ini akan meresapi sanubari kaum bukan Melayu. Dan, kita sendiri tahu, tiada perkara baik akan terhasil dari sesuatu yang berpaksikan kejahilan yang menebal.

Wahai DAP, selama 60 tahun Umno menjadi parti induk BN, selama 60 tahun jugalah pelbagai parti politik dengan pelbagai ideologi dan fahaman politik dari seluruh pelosok negara muncul, bekerjasama dan mengurus tanahair ini dengan aman dan berjaya, melalui politik permuafakatan.

Selama 60 tahun, Umno dan BN mengurus negara ini dengan jalan sederhana. Jalan politik berhikmah. Jalan politik yang mengiktiraf hak dan keperluan semua. Jalan politik yang tidak ekstrem atau melampau.

Dan selama 60 tahun jugalah, pelbagai bangsa hidup dengan rukun dan damai di tanah air ini. Tiada sekali pun Umno dan BN membenarkan konflik perkauman tercetus, kecuali peristiwa 13 Mei yang semua orang tahu, bukan dimulai oleh orang Melayu.

Pasti tidak sempurna

Benar dalam masa 60 tahun tersebut, Umno dan BN pasti tidak sempurna dan terlepas dari segala khilaf. Umno adalah gerakan amal bakti yang mengemudi pentadbiran negara melalui penglibatan politik.

Pasti ada perhitungannya yang tersasar, yang tidak sempurna. Dan adalah amat mustahil semua tindakan Umno akan memuaskan hati atau menggembirakan semua pihak setiap masa.

Namun selama 60 tahun tersebut, rekod Umno mengurus kepelbagaian Malaysia adalah sangat luar biasa. Malah, menjadi suri teladan kepada banyak pihak. Adalah amat sempit dan memalukan pemikiran DAP ini jika mereka beranggapan bahawa Umno dan PAS akan membelakangkan jalan sederhana.

Percayalah, Umno dan PAS bersatu demi watan. Kami dalam Umno dan PAS bukan golongan mereka yang baru berpolitik setahun dua. Malah bukan mereka yang terdorong berpolitik kerana kuasa semata-mata.

Kami berpolitik untuk memberi darma bakti pada bangsa dan tanahair. Kami sangat mengerti, bahawa tiada satu kaum dapat mengurus Malaysia dengan aman dan baik secara terasing dan bersendirian. Ia mesti dilakukan bersama-sama dengan bangsa lain.

Kami sedar, jika Umno ingin berkuasa semula, maka formulanya hanya satu. Orang Melayu mesti bersatu dan mengurus Malaysia dengan bukan Melayu demi kesejahteraan bersama.

Tiada Pelan B dan Pelan C. Hanya satu Pelan, iaitu Umno ++ untuk Malaysia.

Seperti Perikatan dahulu dan kemudiannya Barisan Nasional. Dan formula itu jugalah yang diciplak oleh PH.

Tetapi berikanlah ruang untuk kami menguruskan perpaduan orang Melayu melalui kerjasama dengan PAS. Ini perihal bangsa Melayu yang telah sangat berpecah dan biarlah kami menanganinya dengan kebijakan kami.

Musibah di negara orang

Kesatuan Melayu melalui Umno dan PAS tidak akan memundurkan kemajuan bangsa lain mahupun merencatkan kemajmukan Malaysia. Malah, perpaduan bangsa Melayu sangat diperlukan untuk mengukuhkan kemajmukan Malaysia.

Yang menjarakkan pelbagai kaum di Malaysia ini bukan Umno tetapi DAP. Lihat sahaja bagaimana ia melabel pelbagai pihak yang tidak bersama dengan mereka dengan bermacam-macam nama dan jolokan. Yang menggunakan perkataan ‘perang’, pengganas, ekstremise dan ‘Malay supremist’.

Sehinggakan musibah yang melanda negara orang pun dijadikan contoh untuk berpolitik dan menghina kami. Kerana itulah Umno sangat berterima kasih dengan MCA dan MIC. Di sebalik

serangan dan kata nista terhadap kerjasama Umno dan PAS, kedua-dua parti ini memutuskan untuk terus mendukung politik sederhana dan berhikmah melalui BN.

Lalu kepada semua masyarakat bukan Melayu, ini janji kami. Bahawa dalam segala kelemahan, kekurangan dan kebaikan lepas, kami akan terus berpegang kepada semangat bersederhana dalam amalan politik kami.

Umno tidak akan sama sekali membelakangkan aspirasi setiap warganegara Malaysia yang pelbagai. Umno telah dan akan terus memilih jalan sederhana dan jalan berhikmah kerana inilah ajaran agama kami, nilai bangsa kami dan budaya masyarakat kami.

Umno akan pincang

Kami tidak akan sama sekali membelakangkan masyarakat bukan Melayu kerana perjalanan politik kami yang berpuluh tahun itu sarat sekali dengan cerita terbaik sebuah masyarakat majmuk yang dicontohi serata dunia.

Dan akan kami bangunkan ketumbukan politik yang bukan sahaja sederhana dan progresif. Tetapi akan kami lancarkan ikhtiar memerangi ‘kejahilan’ yang dipelopori oleh DAP dan Bersatu untuk kepentingan politik mereka.

The war against ignorance ini penting kerana golongan bukan Melayu mesti diselamatkan dari terus terpesong dengan politik sempit, dangkal dan jahil, ala DAP.

Pada DAP, apabila orang Melayu berpecah, saling bertekak, itu lebih baik. Lebih mudah untuk mereka mengambil kesempatan. Strategi dan amalan pecah dan perintah ini bukan perkara asing dalam perjalanan panjang sejarah negara kita.

Guru utamanya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Yang penting, demi masa, Umno dan PAS, dalam kerjasamanya, bukan sahaja akan mengukuhkan perpaduan ummah. Tetapi akan mempertahankan kepentingan bukan Melayu walau apa pun harganya. Kerana, bukan Melayu itu bukan aktor tambahan.

Mereka adalah sebahagian dari negara ini. Malah, mereka adalah sebahagian dari kami.

Tanpa bukan Melayu, perjuangan Umno untuk watan akan pincang dan terencat.

Kerana telah termaktub janji Umno dahulu semasa merintis kemerdekaan bersama MCA dan MIC. Bahawa negara ini akan menjadi tanahair bersama. Semua orang punya peluang dan punya tempat dalam naungan tanahair ini.

Pada watan inilah, akan kita semua, Melayu, Cina, India dan semua Bumiputera lain, tumpahkan kasih sayang dan sumbangsih yang tidak berbelah bahagi dan setulusnya.


DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN adalah Naib Presiden Umno

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS