Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya mahu peluknya dan kata saya tetap sayangkannya'
Diterbitkan:  Mar 19, 2019 10:46 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

GLOBAL | Farhid Ahmed, 59, ada di Masjid Al Noor, Christchurch, ketika serangan pengganas Jumaat lalu. Dia terselamat kerana bersembahyang di satu bilik kecil bersama seorang kawan, bukan di ruang utama bersama yang lain.

Bagaimanapun isterinya Husna, bersama 49 yang lain, terkorban di hujung senapang pengganas.

Dia bagaimanapun tidak menyimpan dendam dan berkata mahu bertemu lelaki itu untuk mengucapkan "saya tetap sayang anda".

"Saya ingin beri mesej kepada individu yang melakukannya, atau jika dia ada mana-mana kawan yang berfikiran sama: saya tetap sayang anda," katanya dalam wawancara bersama Reuters.

"Saya tidak setuju dengan apa yang anda lakukan...Anda buat keputusan salah, arah yang salah, tetapi saya ingin percayakan anda (bahawa) hati anda ada potensi yang baik," katanya lagi seperti dipetik.

Farhid Ahmed

Katanya lagi, dia tidak akan sesekali membencinya dan malah ingin memeluknya jika mereka berpeluang untuk bertemu.

Sehari selepas hari mengejutkan itu Brenton Tarrant, warga Australia berusia 28 tahun dan disyaki pelampau kulit putih, didakwa atas tuduhan bunuh. 

Dia ditahan reman sehingga dibawa semula ke Mahkamah Tinggi di South Island pada 5 April, di mana dia dijangka dihadapkan beberapa lagi pertuduhan.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menyifatkan tragedi itu - yang merupakan pembunuhan besar-besaran terburuk dalam sejarah moden negara itu - sebagai "keganasan" dan kerajaan telah menaikkan tahap ancaman keselamatan ke tahap tertinggi.

Dalam wawancara itu, Farhid turut menceritakan detik cemas ketika ia berlaku di mana dia merasakan ia merupakan hari terakhir dalam hidupnya.

"Ketika itu saya sedar dua perkara. Pertama, ia memang bunyi tembakan, dan kedua, ini hari terakhir saya. Kerana keadaan saya berkerusi roda, mustahil untuk keluar (selamatkan diri)."

'Mayat di tempat sembahyang'

Bagaimanapun, kata laporan itu, Tarrant tidak masuk ke bilik kecil itu dan Ahmed berjaya lari ke ruangan letak kereta, di mana dia menyaksikan pembunuhan itu berlaku.

Katanya lagi, orang ramai menjerit dan berlari keluar dan dia masuk semula ke masjid selepas Tarrant meninggalkan masjid itu.

Dia berkata sukar mempercayai pandangannya sendiri - begitu banyak mayat di tempat sembahyangnya saban hari - tetapi tetap menenangkan mereka yang cedera sehingggalah polis tiba.

"Ketika itu saya tidak tahu mayat isteri saya di pagar satu lagi," katanya.

Susulan kejadian itu, ramai warga New Zealand menunjukkan solidariti mereka bersama komuniti Muslim - hanya kira-kira satu peratus daripada populasi - antaranya dengan berkunjung dan meletakkan jambangan bunga di masjid itu.

Semalam, Dewan Rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan keganasan di dua masjid itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan telah mengutuskan surat ucapan takziah kepada Ardern.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS