Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Ibrahim batal 2 program sempena hari keputeraan
Diterbitkan:  Mar 19, 2019 9:18 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar membatalkan dua program sempena hari keputeraannya susulan masalah pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang masih belum selesai.

Dua acara itu adalah Majlis Jamuan Teh yang dijadual berlangsung pada 24 Mac, dan Majlis Jamuan Negeri pada 25 Mac. Hari keputeraan Sultan Ibrahim adalah pada 23 Mac ini.

"Ramai yang terjejas kerana pencemaran sisa bahan kimia akibat dibuat pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala sekolah juga masih ditutup.

"Saya membatalkan dua acara ini oleh sebab tidak mahu berada di majlis yang meriah sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan masih menderita," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) seperti yang disiarkan di Facebook rasmi baginda, hari ini.

Dengan pembatalan dua acara itu, titah baginda lagi, semua pihak bertanggungjawab diharap terus menumpukan perhatian kepada kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

"Ramai petugas yang juga penjawat awam dan pasukan keselamatan serta perubatan terbabit dalam operasi pembersihan dan saya amat menghargai komitmen serta dedikasi mereka.

"Oleh demikian, saya berasakan wajar untuk membatalkan acara ini demi rakyat dan pasukan petugas yang bekerja keras tanpa mengira waktu," titah baginda.

Pada 17 Mac lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin proses pembersihan sepanjang 1.5 km Sungai Kim Kim sudah selesai tetapi pemantauan perlu tetap diteruskan bagi memastikan langkah seterusnya yang boleh diambil.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran sisa kimia, antaranya prosedur operasi standard (SOP) serta pembangunan sistem amaran awal.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS