Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof menyampaikan ucapan itu selepas perbahasan usul mengutuk insiden serangan berkenaan yang dikemukakan Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.

Beliau turut memohon Anggota Parlimen yang beragama Islam membaca Al-Fatihah sementara bagi yang bukan Islam bertafakur sebagai tanda hormat.

“Parlimen (Malaysia) juga berdiri bersama dengan kerajaan dan Parlimen New Zealand dalam menolak keganasan, kebencian dan kekerasan dalam segenap bentuk,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Senator Marzuki Yahya memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan terus memantau rapi keadaan tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu.

Marzuki turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengutus surat ucapan takziah kepada rakan sejawatannya Jacinda Ardern sejurus selepas kejadian tersebut, selain berterima kasih atas bantuan kecemasan yang dihulurkan kepada rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bagi memastikan orang ramai tidak berkongsi video kejadian tersebut dan sebarang perkongsian merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

“Dalam era media sosial sekarang apabila berlaku perkara sebegini kita perlu prihatin dan jangan kongsikan benda sebegini kerana ia amat terkesan kepada mangsa dalam kes sedemikian.

“Ini salah satu perkara yang kita perlu lihat dengan teliti dan (tentang) perkara ini saya akan cadangkan beberapa perubahan kepada undang-undang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, ketika membahaskan usul berkenaan Anwar berkata perkembangan Islamophobia perlu dipantau dunia termasuk Malaysia.

Beliau berkata ideologi ketuanan bangsa kulit putih juga dilihat semakin merebak menerusi perkembangan pergerakan parti berlandaskan kaum di negara barat.

“Trend di Eropah adalah perkembangan parti-parti berlandaskan kaum yang menentang agama Islam, agama lain dan menentang golongan imigran itu sedang berkembang dan dokongan dalam kalangan rakyat juga wujud.

“Trend ini tidak akan terhenti dan saya tekankan Christchurch itu satu malapetaka yang besar kerana adanya sikap sentimen sedemikian,” katanya.

Anggota Parlimen Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican pula memuji tindakan kerajaan khususnya Kementerian Luar yang bertindak tangkas dan cekap dalam memberikan bantuan kepada warga Malaysia yang terlibat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS