Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
YTL: Tiada asas tuding jari pada kami
Diterbitkan:  Mar 18, 2019 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

YTL Corporation Berhad berkata “tiada asas” untuk menyimpulkan syarikat itu bertanggungjawab terhadap kelemahan berkaitan projek marina Pulau Mentagor, Perak.

Syarikat itu berkata demikian sebagai mengulas gesaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat sama ada YTL boleh dipertanggungjawabkan kerana membina marina yang ditauliahkan kerajaan pada harga RM24.27 juta di pulau tidak berpenghuni dan ditinggalkan.

“Oleh kerana ini adalah projek kerajaan, kami tidak dapat mengulas keputusan kerajaan berkaitan bagaimana ia berharap marina itu diuruskan,” kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

“Bagaimanapun, kami ingin jelaskan tiada asas untuk menyimpulkan bahawa YTL patut dipertanggungjawabkan atas kelemahan projek itu.”

Menurut laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan persekutuan pada asalnya mahu sebuah marina dibina di Lumut, Perak tetapi YTL mencadangkan ia dipindahkan ke Pulau Mentagor, yang YTL pada mula merancang membangunkannya.

Projek itu kemudian diberikan kepada YTL melalui rundingan terus.

Mula beroperasi pada Mac 2010, marina itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan dan tiada sebarang kapal memasukinya.

Pulau itu juga kekal tidak berpenghuni, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, akibat beberapa kekangan dengan kerajaan negeri Perak ketika itu, YTL memutuskan untuk tidak meneruskan pembangunan Pulau Mentagor.

Menurut YTL, mereka telah menawarkan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan di marina itu.

“Pada masa yang sama, kerajaan Perak berkata mereka berminat menguruskan marina itu.

“Kami faham bahawa kerajaan memutuskan marina itu dipajakkan kepada kerajaan Perak untuk diuruskan oleh majlis tempatan.

“Selepas itu, penglibatan YTL dalam projek itu berakhir,” katanya.

Menurut laporan PAC, Putrajaya cuba memajakkan marina itu kepada Majlis Daerah Manjung selama 32 tahun dengan bayaran RM160,000 sebulan, tetapi ditolak.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS