Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar desak kerajaan wajibkan pengisytiharan harta
Diterbitkan:  Mar 18, 2019 3:13 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

PARLIMEN | Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim menyarankan kerajaan menggubal undang-undang bagi mewajibkan pengisytiharkan harta oleh pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan.

“[...] Saya menyarankan kerajaan menggubalkan undang-undang bagi mewajibkan pengisytiharan harta yang meliputi semua ahli parlimen, anggota jemaah menteri, ahli Dewan Negara, lantikan politik dalam kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan pusat.

“Maklumat pengisytiharan harta ini hendaklah terbuka kepada pengetahuan umum,” katanya semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agung di parlimen hari ini.

Saranan Anwar itu berlaku ketika masih ada anggota parlimen yang belum mengisytiharkan harta, biarpun perkara itu merupakan polisi kerajaan PH.

Semua anggota parlimen PH, menteri, anggota pentadbiran kerajaan - termasuk setiausaha politik mereka - diminta untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Pengisytiharan tersebut boleh disemak di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehingga kini, masih ada enam anggota parlimen yang belum mengisytiharkan harta, termasuklah Michael Teo (Miri), Ali Biju (Saratok), Awang Husaini Sahari (Putatan) and P Prabakaran (Batu).

Dalam ucapannya, Anwar turut mengalu-alukan Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 31 Jan lalu.

“Pelan ini diharap dapat membebaskan negara daripada gejala rasuah setelah negara dikejutkan dengan amalan rasuah berleluasa dalam pentadbiran yang lalu yang membabitkan terutamanya 1MDB, Lembaga Tabung Haji, Felda dan Mara.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan pihak SPRM, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara bertindak tegas melakukan penyiasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang disyaki terlibat, khasnya dari kalangan pimpinan tertinggi politik pentadbiran yang lama,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan perhatian serius perlu diambil terhadap gejala rasuah bukan sahaja dalam kalangan pimpinan politik tetapi juga penjawat awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS