Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim hampir dua minggu lalu telah memburukkan lagi keadaan sungai yang menjadi nadi kehidupan masyakat sekitarnya sebelum ini.

Menurut penduduk beberapa kampung berdekatan dengan sungai itu seperti Kampung Sri Aman 2, Kampung Kubong dan Kampung Bukit Pulai, Sungai Kim Kim satu ketika dulu adalah lubuk rezeki bagi hasil sungai seperti ikan, udang galah, lokan dan siput sedut.

Penduduk Kampung Sri Aman 2, Firdaus Awang, 24, berkata keadaan di Sungai Kim Kim lima tahun dahulu berbeza dengan sekarang, kerana pada masa itu ramai pemancing datang mencari rezeki di sini.

"Sejak pembuangan sisa kumbahan dan sampah sarap ditambah pula dengan insiden pembuangan sisa kimia baru-baru ini, pemancing tidak berani lagi turun ke sungai.

"Sudah dua tiga hari saya tak nampak kelibat ikan pun di sini, malah dua hari lepas saya terjumpa bangkai ikan," katanya kepada Bernama di Johor Bahru hari ini.

Turut berkongsi pengalaman yang sama, Abdul Jamil Otham, 41, berkata air Sungai Kim Kim berwarna hitam dan kehijauan sejak lima tahun lepas akibat aktiviti membuang sisa kumbahan dan sampah ke dalam sungai namun sejak beberapa hari ini, seolah-olah tiada lagi hidupan di dalam sungai itu.

"Kalau sebelum ini saya boleh lihat beberapa ekor buaya sepanjang tiga meter berada di tebing sungai tetapi sejak insiden pencemaran sisa kimia itu, dah tak nampak buaya lagi," katanya.

Abdul Jamil berkata burung-burung juga tidak kelihatan lagi, mungkin disebabkan ketiadaan ikan dalam sungai.

Malah katanya, kelibat orang Asli mencari siput sedut, lokan atau kerang juga tidak kelihatan.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Pulai, Hadli Suri Rabu, 47, berkata sebelum insiden pencemaran, beliau kerap memancing ikan haruan di Sungai Kim Kim yang terletak sebelah rumahnya tetapi kini tiada lagi.

"Adik saya ada sebuah perahu untuk memancing ikan, tapi perahunya kini hanya tersadai di tepi tebing sungai," katanya.

Tinjauan udara yang dilakukan Bernama mengunakan dron di sekitar Sungai Kim Kim berdekatan dengan Kampung Sri Aman 2 iaitu kira-kira satu kilometer dari Pulau Nenas turut mendapati air sungai berwarna hitam pekat dan berbau busuk.

Pada 7 Mac lepas, pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim telah menyebabkan 1.5 kilometer sungai berkenaan tercemar manakala kesihatan ramai pelajar dan orang awam terjejas dipercayai disebabkan pencemaran udara dari gas yang terhasil dari pembuangan sisa tersebut.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS