Paling Popular
Terkini

Sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada wakil-wakil agama dan pertubuhan bukan kerajaan akan mengadakan himpunan kedamaian pada Sabtu ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof, himpunan tersebut bakal diadakan di Dataran Merdeka sekiranya mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat hari ini berkata hasrat penganjur ialah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin persatuan, NGO dan tokoh agama untuk bersama-sama terbabit dalam aktiviti mempromosikan kedamaian.

"Ia memang dalam rancangan kami untuk program 2019, bagi merancakkan lagi hubungan damai antara kaum di negara ini," katanya pada sidang media di bangunan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad serta pemimpin Islam, Kristian, Hindu dan Buddha adalah antara tokoh yang menghadiri mesyuarat tersebut.

Mujahid yang tidak meletakkan sebarang jumlah kehadiran tertentu pada himpunan itu berharap rakyat Malaysia hadir beramai-ramai bagi menunjukkan perasaan cinta kepada keamanan di Malaysia.

Beliau yang juga anggota parlimen Parit Buntar menjelaskan, himpunan itu bukan sahaja susulan daripada insiden serangan di New Zealand yang menyebabkan 50 nyawa terkorban setakat ini.

Bukan kerja satu orang

Sebaliknya kata Mujahid ia adalah untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa mempromosikan kedamaian adalah jalan yang terbaik bagi mengatasi sebarang masalah di negara ini.

Sabtu lalu, lelaki warga Australia, Brenton Harrison Tarrant, didakwa atas tuduhan membunuh dan dijangka dihadapkan beberapa lagi pertuduhan apabila dibawa semula ke mahkamah pada 5 April ini.

Dia yang disyaki pelampau kulit putih dan berpegang kepada ideologi ketuanan bangsa ditahan sejurus selepas melakukan serangan ganas ke atas dua masjid di Christchurch.

Kata Mujahid jawapan bagi perbuatan kebencian tidak boleh dibalas dengan kebencian, sebaliknya pihak yang berkenaan wajar mempromosikan langkah damai.

Bagaimanapun menurutnya langkah tersebut tidak boleh dilakukan oleh satu pihak saja, sebaliknya perlukan sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

"Kami juga bincang panjang tentang perkara ini dan dengan kehadiran pihak berkuasa untuk pastikan kedamaian akan sentiasa menjadi perkara yang dominan dalam negara ini, bukan kebencian," kata Mujahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS