PAS kini mendakwa perancangan pihak tertentu untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad di parlimen 'gagal' selepas ia dibongkar terlebih awal oleh parti itu.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata partinya memang ada maklumat mengenai perancangan pihak tertentu untuk menyingkirkan perdana menteri di parlimen.
"Cuma apabila kita pecah awal, itu yang gelepar (menggelupur) habis serang PAS, Tok Guru Haji (Abdul) Hadi (Awang), sebab pecah lubang dulu.
"PAS bertindak pecah lubang dulu, kalau PAS tak pecah lubang, sempat mereka buat kerja (undi tak percaya)," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-47 PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Kota Bharu, semalam.
Pada 13 Mac lalu, Malaysiakini melaporkan Mohd Amar mengumpamakan dakwaan yang mengatakan akan wujud undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir di parlimen seperti ramalan cuaca.
Khabar angin itu timbul selepas PAS didakwa menandatangani ikrar untuk memberi sokongan kepada Mahathir sekiranya wujud undi tidak percaya terhadap perdana menteri itu.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, turut mendakwa dua parti komponen PH merancang untuk menyingkirkan perdana menteri itu.
Bagaimanapun pemimpin PH menafikan dakwaan itu.
Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, pendirian PAS tidak berubah dalam isu tersebut sejak jawatan perdana menteri dipegang oleh Najib Razak.
"Kerana kita tak boleh terima cara itu, seperti mana jadi kerajaan di Perak. Kemudian jatuh dengan cara tidak betul oleh (perbuatan) BN, kita nak perjalanan politik negara berjalan dengan betul.
"Sebarang pertukaran kerajaan mesti melalui proses yang sebenar, jangan duduk main tengah jalan untuk menjatuhkan (kerajaan), sebagaimana dulu bila orang heboh nak guling Najib, kita jawab biarlah dia jadi perdana menteri sampai akhir penggal," katanya.
Mohd Amar menambah PAS mahu mengambil kuasa melalui pilihan raya.
Katanya seseorang perdana menteri boleh ditukar asalkan melalui kaedah yang dianggap PAS sebagai proses yang wajar.
"Kalau betul dia janji dua tahun, tunggulah dua tahun. Ini setahun pun tak sampai lagi nak cungkil (singkir) dah," jelasnya.
Justeru kata Mohd Amar, apa yang dilakukan PAS menunjukkan cara dan sikap parti itu tidak berubah.
"Dengan Najib pun macam itu, PAS jawab dengan jelas tunggu pilihan raya. Apabila pilihan raya bertukar sungguh. Jadi begitu juga dengan Dr Mahathir, sikap kita sama.
"Orang tak puas hati, persoal kenapa PAS bersungguh pertahan Mahathir.
"Kita nak jaga proses demokrasi sebagaimana kita tak setuju orang buat pada kita di Perak dulu. Pendirian kita kini pun sama," katanya yang juga Adun Panchor.