Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenyataan Razlan berunsur hasutan untuk buat jenayah'
Diterbitkan:  Mar 17, 2019 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali menggesa bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii memohon secara terbuka dan menarik balik ciapannya yang berbunyi "elok ditembak puak-puak DAP" semalam.

Sheikh Omar berkata ciapan itu jelas mengandungi unsur kebencian dan "hasutan untuk melakukan tindakan jenayah".

"Apa yang dilakukan Razlan akan membawa mesej salah kepada rakyat. Jika dibiarkan, ia boleh membangkitkan sentimen kebencian malah boleh ditafsir sebagai arahan atau hasutan untuk melakukan tindakan jenayah.

"Kita sedia maklum dalam media sosial tanpa sempadan ini, sebarang ungkapan negatif dan berunsur ugutan atau hasutan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati menerusi sikap semberono oleh sesetengah golongan ekstrem. Pemimpin politik harus mengelak dan menjauhi sikap sedemikian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Omar yang juga adun Paloh memberi Razlan tempoh 24 jam untuk berbuat demikian dan jika gagal berbuat demikian, beliau akan mengarahkan laporan polis dibuat.

Razlan membuat ciapan itu ketika mengulas bidasan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki terhadap Adun Mengkibol Chew Chong Sin mengenai serangan pengganas di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.

Chew berkata pembunuhan beramai-ramai di New Zealand yang mengorbankan 49 nyawa itu perlu menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia mengenai perlunya mengekang ekstremisme, memetik contoh kerjasama Umno-PAS dan naratif mereka.

Beliau kemudian menarik balik kenyataan itu dan berkata ia telah membawa kepada salah faham.

Razlan bagaimanapun mempertahankan kenyataanya itu dan menyifatkannya sebagai sindiran dan ulasan terhadap Chew.

Sheikh Omar berkata DAP sendiri melalui setiausaha agungnya Lim Guan Eng telah memberi arahan keras kepada Chew ekoran kenyataan tersebut.

"Saya menggesa semua pihak, baik pemimpin parti saya sendiri dan mana-mana parti, NGO dan individu untuk mengelak daripada memberi kenyataan tidak sensitif terhadap apa jua perkara yang melibatkan kepentingan awam.

"Kita harus bersama-sama menolak politik kebencian dan ekstrem. Kita mahu suasana harmoni dikalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama kekal harmoni walaupun terdapat perbezaan fahaman politik," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS