Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan bantah Akta EU klasifikasi minyak sawit 'berisiko tinggi'
Diterbitkan:  Mar 17, 2019 8:20 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Kerajaan menentang sekeras-kerasnya Akta Perwakilan yang akan dibentangkan Suruhanjaya Eropah untuk mengklasifikan minyak sawit sebagai ‘berisiko tinggi’, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Saifuddin dalam satu kenyataan berkata , beliau berkata proses penggubalan dan maklum balas terhadap akta tersebut mempunyai kelemahan sejak permulaan dan sehubungan itu dakwaan Kesatuan Eropah (EU) bahawa ia adalah berdasarkan risiko relatif biofuel, adalah tidak jujur.

“Secara realiti, Akta Perwakilan itu merupakan instrumen perlindungan untuk menghalang sekatan terhadap minyak sawit di pasaran Eropah. Agak membimbangkan apabila minyak bijian yang kurang berdaya saing dan kurang efisien seperti biji sawi, minyak bunga matahari, kanola dan kacang soya dikelaskan sebagai 'berisiko rendah',"katanya.

Saifuddin berkata kerajaan Malaysia tidak menerima Akta Perwakilan itu yang hanya berpandukan asas saintifik atau alam sekitar.

“Tiada penerangan atau data meyakinkan yang diberikan untuk mendiskriminasi minyak sawit Malaysia. Sehubungan itu, kerajaan menyifatkan Akta Perwakilan oleh EU itu bukan berasaskan alam sekitar, sebaliknya bersifat politik untuk mengeluarkan eksport minyak sawit Malaysia daripada pasaran mereka.

“Tindakan sekatan perdagangan yang agresif terhadap kepentingan nasional Malaysia dan 650,000 pekebun kecil tidak boleh dibenarkan tanpa bantahan keras,”katanya.

Menurut Saifuddin, sekiranya akta itu diluluskan, Malaysia akan menghubungi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk tindakan lanjut.

“Tindakan EU akan menjejaskan kerjasama dan hubungan antara kedua-dua negara. Sehubungan itu, isu ini perlu diselesaikan secara adil dan tanpa diskriminasi dengan layanan sama rata terhadap minyak sawit Malaysia serta bekalan minyak bijian yang lain,”katanya.

Sambil menyifatkan keadaan itu sebagai amat dikesali pengeluar minyak sawit Malaysia dan pengeksport Eropah, beliau berpendapat situasi itu sebenarnya mampu dielakkan.

Saifuddin berkata Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan agresif terhadap Eropah yang akan mencetuskan ancaman langsung dan sasaran terhadap kepentingan ekonomi negara.

“Malaysia sentiasa konsisten dalam menyediakan bukti dan kemapanan minyak sawit termasuk standard pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia yang menyeluruh.

“Adalah mengecewakan apabila EU sebagai rakan yang boleh dipercayai dan bersekutu, akan menjejaskan kepentingan nasional Malaysia menerusi cara ini berikutan mereka telah menjadi penyokong yang konsisten terhadap sistem perdagangan antarabangsa berdasarkan peraturan WTO.

“Akta Perwakilan yang mendiskriminasi ini menjejaskan kredibiliti EU sebagai penyokong sistem berasaskan peraturan yang diterajui WTO," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakan serantau, rakan sejawat di Eropah dan majlis itu untuk menolak akta tersebut demi memelihara dan memperkukuh ekonomi dan hubungan perdagangan antara Eropah dan ASEAN.


-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS