Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembangkang kekal pembangkang di Perak - Ahmad Faizal
Diterbitkan:  Mar 16, 2019 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Pakatan Harapan (PH) akan terus berada di posisi sama iaitu sebagai kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bulan depan dan begitu juga pembangkang kekal di blok mereka.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata dakwaan mengenai menteri besar akan bertukar hanyalah cubaan sesetengah pihak yang mahu melihat ketidakstabilan politik di negeri ini.

"Kerajaan berjalan dengan baik, hubungan dengan parti komponen dalam PH amat kukuh dan kita mendapati PAS serta UMNO bergabung itu mereka punya pasal tetapi PH tidak terjejas tidak berlaku apa-apa.

Kenapa Perak menjadi sasaran? Sasaran di semua tempat tapi di sini kita melayan, kalau tak layan tidak akan jadi apa-apa sampai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kena ulas jadi hentikan," katanya.

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (IMAMI) 2019/2021 di Dewan Seri Tanjung di Tanjung Malim, hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika mengulas mengenai penafian Dr Mahathir memberi persetujuan kepada seorang anggota Exco Perak untuk menggantikan menteri besar Perak sekarang.

Media hari ini melaporkan bahawa perdana menteri berkata kontroversi melanda Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu kerana ada orang hendak merebut jawatan Ahmad Faizal.

Mengulas mengenai permintaan ejen jualan tiket bas di Terminal Amanjaya, Ipoh supaya mewartakan Silveritage sebagai terminal bas baharu, Ahmad Faizal berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ejen terlibat dalam masa terdekat.

"Kita akan berbincang dengan ejen tiket bas di Terminal Amanjaya dan insya-Allah kita akan rungkaikan masalah itu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS