Paling Popular
Terkini

KATA MP | Malaysia sedang menikmati perkembangan ekonomi yang memberangsangkan dan dapat dibuktikan dengan peningkatan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan untuk semua sektor.

FDI yang diluluskan naik setinggi 48 peratus kepada RM80.5 bilion bagi 2018. Angka ini merupakan penunjuk pelopor penting bagi membantu orang ramai memahami kecenderungan keadaan ekonomi negara.

Pertumbuhan FDI yang diluluskan ini ditambah dengan kenaikan 3.2 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) untuk Januari 2019.

Pertumbuhan pengeluaran perindustrian ini adalah lebih baik berbanding dengan konsensus pasaran 2.3 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Perkembangan ini selaras dengan angka-angka positif yang dicatatkan oleh Malaysia.

Kecenderungan positif ini dijangka akan berterusan walaupun negara berhadapan dengan cabaran luaran.

Kepimpinan yang jelas dan bersih disediakan kerajaan dalam membimbing ekonomi negara membantu meningkatkan FDI yang diluluskan sepanjang tahun lepas.

Untuk separuh tahun pertama 2018, FDI yang diluluskan bagi semua sektor hanya RM26.5 bilion. Namun, nilai itu meningkat dengan mendadak kepada RM54.0 bilion pada separuh tahun kedua (lihat Jadual 1).

Peningkatan ketara ini juga memperlihatkan peranan penting dimainkan Malaysia sebagai sebuah hab pembuatan bagi rantau ini, dan juga ruang selamat (safe haven) untuk rantaian bekalan antarabangsa ketika perang dagang di antara AS dan China berlanjutan.

Malah, jumlah FDI pembuatan yang diluluskan dari China meningkat kepada RM19.7 bilion pada 2018, iaitu peningkatan 410.8 peratus atau RM15.8 bilion, daripada RM3.9 bilion pada 2017.

Pada masa sama, FDI dari AS naik 184.9 peratus atau sebanyak RM2.1 bilion kepada RM3.2 bilion pada tahun lepas berbanding RM1.1 bilion pada 2018.

Tetapi bukan AS dan China sahaja yang sedang mempertingkatkan pelaburan mereka. 

Pelabur-pelabur Indonesia akan melabur sebanyak RM9.0 bilion dalam bidang pembuatan dan ini merupakan peningkatan yang drastik memandangkan pada 2017, pelaburan diluluskan dari negara berkenaan adalah RM0.5 jta sahaja.

Ini menjadikan Indonesia sebagai sumber FDI kedua terbesar selepas China untuk tahun lepas.

Kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuannya bagi meningkatkan kualiti pertumbuhan dan memastikan supaya hasil pembangunan negara dapat dinikmati bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat.


LIM GUAN ENG ialah menteri kewangan merangkap anggota parlimen Bagan, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS