Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun DAP tarik balik kenyataan isu serangan Christchurch
Diterbitkan:  Mar 15, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: Mar 16, 2019 12:12 AM

Nota editor: Versi terdahulu artikel ini menyiarkan reaksi Adun Mengkibol Chew Chong Sin terhadap serangan pengganas di Christchurch dan implikasinya di Malaysia. Chew menarik balik kenyataan itu beberapa jam selepas mengeluarkannya kerana "salah faham" akibat daripada kenyataan tersebut.


Seorang Adun DAP mendakwa pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, New Zealand harus menjadi pengajaran kepada Malaysia mengenai perlunya mengekang gejala ekstremisme, sebelum menarik balik kenyataan tersebut.

Chew Chong Sin dalam kenyataan awalnya menyatakan kebimbangan mengenai kerjasama Umno dan PAS yang didakwa menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama.

"Persepakatan Umno dan PAS serta minat mereka terhadap kaum dan agama adalah tidak bertanggungjawab sama sekali.

"Ia tidak memberi manfaat dalam pembinaan Malaysia baru yang boleh diambil kesempatan oleh kumpulan pengganas asing.." katanya dalam satu kenyataan.

Tarik balik kenyataan

Dalam kenyataan tersebut Chew turut berkata kerajaan mengusir enam warga Mesir dan seorang rakyat Tunisia yang disyaki ada hubung kait dengan kumpulan militan Islam.

Sambil menggesa pihak polis memperketatkan pengawasan, Adun Mengkibol itu berkata siasatan mendapati warga asing berkenaan cuba menjadikan Malaysia sebagai lokasi selamat.

"Mereka menyelinap masuk ke negara kita menggunakan pasport palsu, berkahwin dengan penduduk tempatan, (memohon dengan alasan) untuk menyambung pengajian atau menjalankan perniagaan di sini," katanya.

Bagaimanapun, Chew kemudian menarik balik kenyataan itu atas alasan bahawa ia telah menyebabkan "salah faham".

"Hasrat asal kenyataan akhbar saya adalah untuk menyatakan kebimbangan tentang ekstremisme agama di negara ini, tetapi ia mengakibatkan salah faham, saya sangat menyesal dan menarik balik kenyataan saya," katanya kepada Malaysiakini.

Sejak pilihan raya umum lalu, perhatian tertumpu kepada isu mengenai kaum dan agama apabila Umno dan PAS mendakwa Pakatan Harapan (PH) gagal melindungi kepentingan kaum Melayu dan Islam di negara ini.

Mereka menuding DAP sebagai kuasa dominan dalam PH meskipun parti itu berulang kali menafikannya.

Doa buat mangsa

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengutuk insiden serangan di Christchurch yang disifatkan sebagai jenayah kemanusiaan.

"Tiada agama yang membenarkan keganasan terhadap orang yang tidak bersalah, dan kejadian ini adalah bertentangan dengan ajaran semua agama.

"DAP berharap agar keluarga-keluarga mangsa dan masyarakat Christchurch akan dapat melalui peristiwa jenayah yang tragik ini dengan penuh kesabaran dan rasa belas kasihan terhadap mangsa-mangsa kejadian," jelasnya.

Lim berkata DAP juga berharap agar rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan itu selamat dan segera sembuh.

"Doa dan harapan kami agar rakyat Malaysia dan masyarakat di Christchurch yang terperangkap dalam serangan ini kekal selamat," kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS