Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh dalam kejadian serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand.
Menurut kenyataan kementerian luar, sehingga jam 3 petang tadi, hanya dua rakyat Malaysia disahkan cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.
Kementerian itu berkata, Malaysia mengutuk keras tindakan keganasan melampau itu terhadap orang awam yang tidak bersalah.
“Kita berharap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah kejam ini akan dibawa ke muka pengadilan. Ingatan dan doa kita bersama mangsa serta keluarga mereka yang terbabit dalam kejadian hari ini,” katanya.
Kementerian Luar berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan mengawasi keadaan dengan teliti.
“Talian hotline sudah diwujudkan di Suruhanjaya Tinggi untuk memudahkan sebarang pertanyaan mengenai situasi semasa,” katanya.
Kementerian Luar berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington boleh dihubungi di alamat 10 Washington Avenue, Brooklyn, Peti Surat 9422, Wellington 6021, New Zealand, di talian 00-64-210440188/00-64-4385 2439/00-64-4801 5659 dan emel [email protected] dan [email protected].
Serangan hari ini berlaku pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan). Antara yang menjadi sasaran adalah Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang manakala lebih 20 orang cedera. Kerajaan New Zealand turut mengumumkan Christchurch ditutup susulan insiden itu.