Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masalahnya bukan DAP, tetapi PH yang tak bersatu

ULASAN | DAP terus dijadikan kambing hitam oleh ahli-ahli politik Melayu yang lemah, baik daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun BN. Persoalannya, mengapa DAP nampaknya sering menjadi sasaran?

Keamanan rakyat di Malaysia sering dikaitkan - tidak jarang secara keliru - dengan kemajmukan. Model ini memaparkan keadaan semua kaum disatukan sebagai bangsa Malaysia.

Dalam proses pembinaan bangsa - di mana DAP telah berusaha sebaiknya untuk mewujudkan Malaysia yang adil dan saksama - cukup mudah untuk mengaitkan keharmonian negara dengan keperluan untuk melaksanakan konsep 1Malaysia secepat mungkin.

Di bawah kerajaan lama, selain digunakan untuk pembinaan bangsa, 1Malaysia juga digunakan sebagai slogan penting untuk menjenama institusi yang meragukan seperti 1MDB.

Namun Malaysia terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, di mana dasar tindakan afirmatif sentiasa perlu diubahsuai - bukan sekadar untuk rakyat Melayu, tetapi untuk semua kaum.

Kalau ada pun kesilapan DAP, ia adalah sikapnya yang terburu-buru untuk melihat idea kemajmukan sebagai model utama dalam proses membina bangsa, dan bukannya membiarkan setiap kaum dan masyarakat berada di landasan yang lebih stabil terlebih dulu.

Contohnya orang Melayu secara amnya percaya bahawa persekutuan Malaysia harus berkiblat kepada identiti Melayu. Perlembagaan Persekutuan sememangnya menyediakan asas untuk tafsiran ini, tetapi ia hanyalah salah satu daripada banyak tafsiran.

Bersatu, misalnya, akan sentiasa memperjuangkan agenda pemerkasaan Bumiputera, tetapi sedar bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu ditingkatkan atau hutang negara dikurangkan, yang kini berdiri di paras kira-kira hampir 82 peratus daripada KDNK. Jika KDNK tidak meningkat, hutang tidak akan kurang.

Jadi, agak bahaya bagi sesiapa dalam PH untuk mengatakan kelantangan suara DAP itu adalah akibat perangai yang melampau.

PH lalui 4 peringkat

Mengapa perlu mempertahankan DAP dari semasa ke semasa? Ini kerana PH adalah satu pakatan baru. Lazim bagi pakatan baru sepertinya untuk melalui empat peringkat iaitu pembentukan, pertentangan, pembiasaan dan pencapaian (forming, storming, norming, performing), seperti yang diterangkan ahli psikologi pendidikan Bruce Tuckman.

Di peringkat pembentukan, kumpulan-kumpulan yang dulunya asing, ataupun bermusuh, akan disatukan. PH dibentuk daripada beberapa parti yang dulunya berperang dengan doktrin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Amanah, DAP dan PKR - ketiga-tiganya pernah mengalami konflik dengan Mahathir. Dan mungkin sentimen ini masih ada.

Berdasarkan teori Tuckman mengenai proses perkembangan kumpulan, maka tidak pelik jika ada beberapa khilaf dan konflik dalam PH. Muafakat yang jitu dibina daripada kesatuan untuk mengatasi konflik.

PH telah memimpin untuk sepuluh bulan, dan ini merupakan isyarat terhadap kematangan setiap parti. Setiap pucuk pemimpin dan pemimpin kanan tidak pernah tersasar daripada keutamaan untuk menewaskan rejim kleptokrasi BN.

Inilah sebabnya mengapa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong mengulas mengenai kes-kes penipuan yang berat mengenai tanah, di mana kem-kem angkatan tentera dibina di kawasan parlimen menteri-menteri tertentu. Apa yang dilakukan oleh Amanah dan DAP adalah mempertahankan kebajikan tentera veteran.

Apa yang telah dicapai oleh DAP dan Amanah, dengan persetujuan PKR dan Bersatu, menunjukkan tahap ‘norming’. Dalam erti kata lain, setelah mengetepikan seluruh konflik dengan Mahathir, semua parti sekarang boleh melihat perspektif pemimpin tertinggi, dan akar umbi pun telah belajar untuk berpegang kepada nilai-nilai yang sama.

Banyak lagi yang mesti dilakukan oleh PH untuk mencapai prestasi yang memberangsangkan di mata rakyat.

Sebagai contoh, PH masih belum mendapatkan bon Samurai daripada Jepun untuk membayar hutang dengan faedah yang tinggi kepada Goldman Sachs. PH juga belum mampu meningkatkan harga minyak kelapa sawit tempatan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar sahaja yang dilihat secara teliti mengadaptasi dasar Pandang ke Timur.

 PH juga, malangnya, masih belum mampu untuk menghapuskan semua tol atau membayar hutang-hutang lama kepada Sabah dan Sarawak. Untuk itu, ia telah dituduh berpaling tadah terhadap manifestonya sendiri.

Namun, walaupun PH dilihat semakin hilang arah, sekurang-kurangnya kes pendakwaan terhadap salah laku bekas perdana menteri Najib Razak sedang diusahakan dengan serius. PH juga berjaya membawa bekas timbalannya Ahmad Zahid ke muka pengadilan.

Satu demi satu kes rasuah telah dikesan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Di bawah “Malaysia Baru”, PH fokus untuk memberi harapan baru kepada negara.

DAP setia dengan PH

Teori Tuckman mungkin telah diperbaiki beberapa kali, namun tesis utamanya kekal utuh. Maka perbezaan dan kecaman yang berlaku tidak seharusnya dilihat sebagai permulaan kepada kehancuran PH.

DAP juga tidak seharusnya disisihkan kerana mereka juga cuba untuk melakukan yang terbaik sebagaimana parti lain. Rekod di Pulau Pinang sahaja menunjukkan parti itu mampu mengadaptasi dan mempromosikan agenda Melayu. Sumbangan kepada masjid dan komuniti Melayu antara tahun 2008 dan 2019 juga telah meningkat, bukan menurun.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin PAS di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang pula terperangkap dalam siasatan rasuah yang membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit.

 “Carilah kebenaran daripada fakta-fakta,” demikian kata Deng Xiaoping. “Rasakanlah batu-batu di lantai sungai setiap kali anda menyeberanginya.”

Dalam erti kata lain, jadilah lebih berhati-hati, cermat dan prihatin. Ini adalah frasa yang senada dengan peribahasa Melayu, bagai menarik rambut dari tepung.

Kebijaksanaan orang-orang tua dari mana-mana budaya di Malaysia membawa pemahaman tentang kepentingan mengatasi konflik antara satu sama lain.

Perkara terakhir yang akan dilakukan oleh mana-mana pemimpin dari PH adalah menikam belakang rakan-rakan pakatan mereka dengan menuduh ia menjadi samseng. DAP mungkin bercakap secara terbuka dan tegas, tetapi ia masih setia kepada PH, dan kita semua perlu ingat itu.

Jika mereka memang begitu, mereka pasti akan menerima suapan daripada Umno sebelum tersipu-sipu keluar meninggalkan pakatan untuk membiarkannya runtuh. Seperti yang dikatakan pernah terjadi beberapa tahun lalu.

DAP telah bersama PH dan masih bersama PH. Jangan kita kutuk mereka dengan keras tanpa sebab.

Pepatah Inggeris ada mengatakan, “If the only tool you have is a hammer, every problem starts to look like a nail.” Semua ahli-ahli penting dalam PH, terutamanya para menteri, tidak sepatutnya melihat kepada benda yang tiada.

Lebih penting lagi, apa yang perlu dilakukan PH dengan segera adalah mengukuhkan pakatan secara sebulat suara dalam menyelesaikan masalah rakyat, dan bukannya berpolitik secara berlebihan dan sibuk mengenai kereta terbang.


RAIS HUSSIN merupakan Presiden & CEO EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS