GLOBAL l Amerika Syarikat merehatkan semua pesawat jenis Boeing 737 Max 8 dan 9, kata Presiden Donald Trump pada Rabu, menjadikan ia negara besar terakhir yang mengambil langkah itu susulan dua nahas membabitkan model tersebut dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, lapor agensi berita China Xinhua.
"Kesemua pesawat jenis itu direhatkan, berkuat kuasa serta-merta," kata Trump pada sidang akhbar merujuk kepada variasi Boeing 737 Max.
"Keselamatan rakyat Amerika menjadi keutamaan kita," kata beliau.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyusuli kenyataan Trump dengan mengeluarkan arahan untuk merehatkan sementara pesawat jenis Boeing 737 Max yang dikendali oleh syarikat penerbangan AS atau di wilayah AS.
FAA berkata "bukti baharu yang dikumpul di lokasi nahas dan dianalisis hari ini" telah membawa kepada keputusan itu.
"Arahan itu akan kekal sementara menunggu siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan maklumat daripada perakam data pesawat dan perakam suara kokpit," menurut kenyataan FAA.
Sebuah pesawat milik Ethiopian Airlines yang dalam perjalanan dari Addis Ababa ke Nairobi, Kenya terhempas pada Ahad, mengorbankan kesemua 157 penumpang dan anak kapal.
Dalam satu insiden lain, sebuah pesawat milik Lion Air terhempas pada Oktober di Indonesia yang meragut 189 nyawa.
Kedua-dua pesawat adalah model Boeing 737 Max 8 dan faktor persekitaran yang menyelubungi kedua-dua tragedi amat serupa.
Pada peringkat ini, tidak jelas apa yang menyebabkan kedua-dua nahas berlaku meskipun media AS melaporkan bahawa lima aduan telah difailkan terhadap pesawat Boeing 737 Max oleh juruterbang dalam pangkalan data persekutuan beberapa bulan sebelum nahas pada Ahad berlaku, yang menyaksikan seorang juruterbang menyifatkan manual penerbangan pesawat itu "tidak memadai dan hampir tidak lengkap."
Boeing juga berkata ia telah membangunkan perisian kawalan penerbangan yang ditambah baik untuk model 737 MAX pasca nahas Lion Air.
Nahas Ethiopian Airlines berlaku sebelum penambahbaikan itu selesai.
Southwest Airlines, pengendali utama pesawat jenis Boeing 737 Max di Amerika Syarikat, berkata ia akan segera mematuhi syarat terkini FAA dengan mengeluarkan kesemua 34 pesawat model Max 8 daripada perkhidmatannya.
Sebelum pengumuman untuk merehatkan pesawat itu, Southwest Airlines telah membenarkan pelanggan yang telah menempah penerbangan menggunakan pesawat jenis Boeing 737 Max 8 menukar tiket secara percuma.
Berita itu disambut dengan penuh kelegaan oleh para pelanggan American Airlines, sebuah lagi pengendali utama pesawat model tersebut yang enggan menawarkan pertukaran tiket secara percuma kepada mereka yang dijadualkan menaikinya.
Senator Richard Blumenthal dari Parti Demokratik, yang menggesa agar pesawat itu direhatkan sejak Isnin, berkata FAA mengambil langkah yang tepat tetapi agak "lambat," merujuk kepada hakikat bahawa Amerika Syarikat menjadi negara besar terakhir yang menghentikan operasi model yang menjadi pertikaian, meskipun terdapat gesaan berulang kali daripada anggota parlimen AS, pakar dan orang ramai sejak beberapa hari lepas agar FAA mengutamakan keselamatan.
- Bernama