Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rizab minyak, gas bertahan 10 tahun saja lagi - Kementerian
Diterbitkan:  Mar 13, 2019 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

PARLIMEN | Rizab minyak dan gas Malaysia dijangka akan berkurangan pada 2029 berdasarkan kadar pengeluaran semasa, maklum Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kementerian memberitahu Dewan Rakyat, Petronas juga perlu meneruskan usaha cari gali di dalam dan di luar negara bagi memastikan kemampanan bekalan bahan bakar minyak di Malaysia.

"Berdasarkan tahap pengeluaran purata tahunan semasa, rizab minyak dan gas dijangka dapat bertahan selama 10 tahun sahaja.

"Oleh yang demikian, amatlah penting bagi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk meneruskan usaha dan kerjasama secara berterusan dalam pencarian rizab-rizab baru di dalam dan luar negara terutama bagi lapangan laut dalam (deepwater).

"Walau bagaimanapun, pencarian dan eksplorasi ini melibatkan kos yang amat tinggi iaitu sekitar 70 hingga 80 peratus kos pengeluaran disebabkan oleh kerumitan (complexity) dan risiko yang perlu dihadapi oleh Petronas," kata jawapan bertulis kementerian.

Jawapan ini bagi soalan Hasan Arifin (BN-Rompin) yang turut bertanya jumlah rizab minyak dan gas Malaysia kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

"Dimaklumkan bahawa jumlah sumber minyak dan gas yang ditemui di Malaysia termasuk lapangan yang belum beroperasi adalah sekitar 6.7 Billion tong minyak setara (Bboe – Barrels of Oil Equivalent).

"Semenanjung Malaysia mempunyai rizab minyak mentah dan gas berjumlah 2.2 Bboe; Sarawak mempunyai 2.8 Bboe; dan Sabah mempunyai 1.7 Bboe," kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS