Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal dilepas tanpa bebas tuduhan ceroboh premis judi
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur hari melepaskan tanpa membebaskan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos daripada pertuduhan menceroboh sebuah premis perjudian di Taman Kosas, di Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan bahawa sepina bagi kehadiran saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu tidak dapat disempurnakan selain pegawai penyiasat juga gagal memastikan kehadiran saksi.

Sehubungan itu, Muhamad Firdaus membuat keputusan supaya Jamal yang diwakili peguam Khairul Anuar dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan.

Pada 5 Julai tahun lepas, Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama Aenol Rofik Mawardi, 21, dan seorang lagi yang masih bebas, menceroboh kedai Starcom Trading and Services, Jalan Kosas 13, Taman Kosas di sini, jam 3.30 petang, 29 Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS