Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu air: Menteri luar S'pura kritik melulu - Saifuddin

PARLIMEN |  Menteri Luar Saifuddin Abdullah menyatakan rasa terkejut terhadap kritikan melulu rakan sejawatnya dari Singapura, Vivian Balakrishnan mengenai isu perjanjian bekalan air.

Katanya, kenyataan yang didakwa dibuat di parlimen republik itu pada 1 Mac lalu antaranya mempertikaikan hak Malaysia untuk menyemak semula Perjanjian Air 1962.

Apatah lagi, jelas Saifuddin kedua-dua negara telah memulakan proses perbincangan antara Peguam Negara Tommy Thomas dan rakan sejawatnya dari Singapura bagi pusingan pertama perbincangan.

"Pegawai-pegawai saya dan saya telah menyusunnya kita seharusnya masuk peringkat kedua perbincangan iaitu lihat soal modality harga dan apakah tempoh masa modality harga itu dan perkara-perkara berkaitan yang boleh dicapai.

"Oleh demikian, saya sangat terkejut baru-baru ini menteri luar Singapura ketika berucap di parlimen Singapura telah kritik secara melulu terhadap tindakan kita untuk review (semak semula) perjanjian ini,” kata Saifuddin.

Beliau menjawab soalan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PH - Santubong) mengenai perbincangan yang sedang berlangsung dengan negara jiran itu.

Wan Junaidi bertanya sekiranya menteri telah menggariskan terma dan rujukan perbincangan dua hala tersebut dan jika di persetujui oleh kedua-dua negara.

Beliau juga bertanya jika terdapat sebarang petunjuk dari Singapura mengenai perbincangan berkenaan.

Saifuddin menolak dakwaan Vivian (gambar) bahawa Malaysia tidak menghormati perjanjian dan berkata Malaysia tidak boleh menyemak semula perjanjian itu selepas 25 tahun.

"Dengan izin, clause 14 perjanjian menekankan it shall be subjected to review after the expiry of 25 years of this presence bukan at the 25 years. (ia tertakhluk untuk semakan semula selepas tamat tempoh 25 tahun bukan pada 25 tahun)

"Jadi, saya tak faham Bahasa Inggeris yang digunakan oleh menteri luar negeri yang membuat tafsiran itu. Kita mematuhi perjanjian itu sebab kita kata kita boleh review (semak semula) selepas 25 tahun perjanjian itu ditandatangani.

"Menteri luar Singapura membuat insuniation (sindiran) dengan izin, menuduh seolah-olah kita ada masalah governance (urus tadbir) sedangkan itu adalah tuduhan-tuduhan jahat dalam bahasa Inggeris 'hitting below the belt' (main kotor).

"Beliau (Vivian) juga mengatakan kononnya Singapura jauh lebih baik daripada kita memberi subsidi itu dan sebagainya dalam soalan air itu adalah perkara sebenarnya bukan melambangkan fakta yang tepat," kata Saifuddin kepada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Subsidi air

Vivian juga didakwa mengatakan Singapura lebih baik daripada Malaysia kerana ia memberikan subsidi kepada Malaysia dalam penjualan air.

Di bawah perjanjian sedia ada, Johor membeli air terawat dari Singapura pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Kenyataan Vivian pada sidang parlimen di republik itu dibuat selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengkritik perjanjian itu.

Sebelum ini Dr Mahathir mengatakan Singapura membeli air yang tidak dirawat dari Malaysia dengan harga "rendah" tiga sen bagi setiap 1,000 gelen. Singapura dibenarkan mengeluarkan 250 juta gelen air mentah sehari dari Johor.

Perdana menteri juga berkata negeri Johor mesti bijak memperjuangkan hak mereka dalam isu eksploitasi oleh Singapura, terutamanya apabila ia datang kepada penjualan air.

Wan Junaidi kemudian bertanya subsidi apakah yang diberikan Malaysia kepada Singapura dalam penjualan air.

"Mudah. Term of reference (terma dan rujukan) ada dalam (perjanjian) 1985, sepatutnya kita mula bincang soalan harga air ini, kenapa kita tak bincang, kedua dalam penjualan dan pembelian air Singapura bernilai hampir 9 kali ganda mahal. Adakah elemen subsidi dalam itu?" Soalnya.

Menjawab hal ini, Saifuddin berkata Malaysia menganggarkan telah memberikan subsidi kepada Singapura sebanyak RM42 juta setahun, atau RM2.4 bilion setakat ini.

"Atau boleh kira kira-kira RM100,000 sehari ini adalah kadar minimum yang diukur pada tempoh perjanjian sampai sekarang.

"Betul lah seperti YB (Santubong) yang sebutkan kita jual begitu dengan harga murah tetapi kita beli dengan harga yang mahal," jelasnya.

Saifuddin juga berkata kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan dengan penjelasan terperinci mengenai perkara berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan oleh Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai langkah-langkah tegas yang akan diambil Malaysia sekiranya Singapura menegaskan tidak akan berunding, Saifuddin berkata Malaysia akan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli supaya Johor tidak bergantung dengan bekalan air terawat dari Singapura.

Beliau berkata sekiranya perlu, kerajaan juga boleh membawa perkara ini kepada timbang tara antarabangsa.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS