Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN tak izin himpunan jika penganjur maklumkan ada LGBT

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman memberitahu penganjur Himpunan Hari Wanita Antarabangsa pada Sabtu lalu tidak memaklumkan penglibatan peserta lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) dalam perhimpunan tersebut.

Katanya, sekiranya penglibatan golongan itu dimaklumkan lebih awal, pasti perhimpunan itu tidak akan mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri.

“Waktu dia (pengajur) memohon (mengemukakan notis) itu, saya rasa dia tak sebut perhimpunan untuk LGBT.

“Saya pasti kalau sebut dalam notis itu perhimpunan untuk LGBT, kementerian tak akan benarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di parlimen hari ini.

Tambah Mohd Azis, biarpun himpunan tersebut bukanlah khusus untuk golongan LGBT, kehadiran golongan itu telah melanggar sensitiviti majoriti rakyat Malaysia.

“Boleh kamu bayangkan, dia angkat sepanduk semua... mereka kena sensitiflah kepada orang Malaysia.

“Kita di Malaysia sebagai berbilang bangsa, agama rasmi ialah Islam, khususnya kepada orang Melayu.

"Benda-benda seumpama ini sensitif, jadi sensitiviti ini perlulah dipertimbangkan,” katanya lagi.

Jelas anggota parlimen Sepanggar itu lagi, kerajaaan sentiasa mengalu-alukan perhimpunan aman, tetapi penganjur tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap keterbukaan tersebut.

“Tengok apa terjadi? Huru-hara seluruh negara.

“Kamu boleh amalkan apa kamu mahu. [...] Tapi sampai nak buat himpunan (dan) ambil sepanduk LGBT. Ini Malaysia, ada sensitivitinya.

“Bagaimana kita mahu hormati kaum ini (LGBT), dia juga kena (terlebih dahulu) hormati orang yang majoriti.

“Bagaimana dia nak dihormati, majoriti juga mahu dihormati,” tambahnya lagi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa perhimpunan menuntut hak wanita bersempena Hari Wanita Antarabangsa itu tidak mempunyai permit.

Dengan itu, katanya, perhimpunan yang diadakan Sabtu lalu berhampiran pusat beli-belah di ibu kota itu telah melanggar Akta Himpunan Aman (PAA) 2012 .

Untuk rekod, mengikut PAA tidak memerlukan penganjur memohon untuk mendapatkan permit, sebaliknya mereka cuma perlu menghantar notis pemberitahuan kepada polis.

Mengulas hal itu, Azis yakin permit yang dimaksudkan Muhyiddin sebenarnya merujuk kepada notis. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS