Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga model Belanda fail semakan keputusan mahkamah koroner

Keluarga model Belanda, Ivana Esther Robert Smit hari ini memfailkan permohonan semakan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Coroner bahawa kematiannya disebabkan "nahas".

Permohonan semakan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam SN Nair berkata ada bukti yang cukup untuk koroner memutuskan kematiannya adalah pembunuhan (homicide).

"Walaupun dapatan koroner bersetuju dengan hujah kami, beliau tetap sampai ke kesimpulan yang salah bahawa ia adalah nahas (misadventure).

"Sementara kami merasakan daripada semua dapatannya daripada bukti, beliau sepatutnya memutuskan pembunuhan (sebagai punca).

"Hujah kami adalah keputusan itu akan sepadan dengan keseluruhan bukti yang diberikan sepanjang inkues," katanya dalam kenyataan.

'Suspek dibenarkan lari'

Antara asas yang disenaraikan dalam permohonan semakan adalah polis menjalankan soal siasat terperinci dengan dua individu yang menurut Nair patut menjadi suspek dalam dakwaan pembunuhan itu.

"Dengan tidak berbuat demikian, sengaja atau tidak, ia memberi peluang kepada dua individu itu untuk keluar dari Malaysia.

"Walaupun disapina untuk hadir ke inkues, mereka enggan berbuat demikian," katanya tanpa menamakan dua individu itu.

Nair dipercayai merujuk kepada warga Amerika Syarikat Alex Johnson dan warga Kazakhstan Luna Almaz, pemilik unit kondominium tingkat 20 di CapSquare Residences di Kuala Lumpur, di mana Smit tinggal sebelum kematiannya dua tahun lalu.

"Koroner setuju dengan dapatan dan pandangan ahli patologi Belanda, Dr Frank Van Der Goot bahawa kematian (Smit) berlaku lebih awal di apartmen itu sendiri ekoran hipotermia (terdedah kepada kesejukan) dan trauma di belakang kepalanya, tanda lebam di badan, dan DNA Johnson di bawah kuku jarinya," katanya lagi.

'Tiada kertas siasatan lengkap'

Nair mendakwa pegawai polis yang menyiasat kematian Smit, Faizal Abdullah, tidak kompeten dan kurang wibawa dengan tidak membuka kertas siasatan yang lengkap.

Katanya, Faizal sebaliknya menjalankan siasatan bawah laporan kematian mengejut (SDR) dan terus menanggapi kematiannya sebagai kes bunuh diri, walaupun banyak bukti menunjukkan sebaliknya.

Satu lagi asas semakan, kata Nair, adalah ahli patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Nurliza Abdullah yang dikatakan tidak kompeten dalam membuat sangkaan kematian Smit adalah kerana bunuh diri walaupun tidak hadir ke tempat kejadian.

Jumaat lalu, Koroner Mahyon Talib dalam penghakiman bertulisnya mengklasifikasikan kematian Smit sebagai satu kemalangan akibat 'involuntary risk'.

Mahyon berkata mahkamah mendapati tiada pihak yang terlibat secara jenayah dalam kejadian itu.

Ivana yang berusia 19 tahun ketika itu jatuh dari tingkat 20 dan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium tersebut dalam keadaan bogel.

Sejumlah 22 saksi memberi keterangan ketika inkues yang bermula 8 Ogos tahun lalu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS