Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ribut di Slim River: Mangsa cedera kena serpihan siling
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 10:00 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Angin ribut yang berlaku hampir sejam petang tadi menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar perkarangan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di Slim River selain menerbangkan bumbung beberapa asrama dan jabatan, mengakibatkan seorang pengawal keselamatan PSAS cedera.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, pengawal keselamatan wanita itu cedera akibat terkena serpihan siling asrama yang berterbangan dan susulan itu, mangsa dibawa ke Hospital Slim River bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Menurut Pengarah PSAS, Dr Naimah Md Khalil, kebanyakan bumbung bangunan tinggi seperti asrama dan fakulti yang terletak di kawasan tinggi diterbangkan angin ribut itu.

“Setakat ini, walaupun banyak pokok tumbang dan atap diterbangkan, Alhamdulillah saya difahamkan tiada pelajar dan staf yang cedera. Kita masih menilai tahap kerosakan.

“Cumanya kita agak risau dengan satu program rasmi iaitu Karnival Sains dan Teknologi 2019 yang akan berlangsung esok kerana khemah-khemahnya rosak diterbangkan ribut. Ia akan dirasmikan oleh exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Mohd Fazrul Azuan Norman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.41 petang dan sejurus itu, sebuah jentera bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian.

“Terdapat seorang mangsa cedera terkena serpihan siling asrama dan dia telah dibawa pergi oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS