Pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa hari ini membuat laporan polis berhubung ancaman dalam talian yang dibuat terhadap bosnya itu.
Menurut laporan yang dibuat pegawai tugas-tugas khas (PTTK) kepada menteri, Adnan Abd Rahman, ugutan itu dibuat dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook bernama "Otai Daulat 812".
Laporan polisnya mengatakan klip video sepanjang 2 minit dan 39 saat itu memaparkan tiga orang lelaki dan seorang perempuan.
Klip video itu antara lainnya didakwa mengandungi ancaman serangan asid terhadap Mujahid.
Malaysiakini telah mengunjungi laman Facebook berkenaan dan tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan yang dibuat dalam laporan polis itu.
Adnan menggesa pihak polis menyiasat perkara berkenaan dibawah undang-undang ugutan jenayah.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.
“Saya sahkan ada terima laporan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah,” katanya.