Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengarah AIAC mohon dapat imuniti
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) A Sundra Rajoo memfailkan semakan kehakiman bagi mendapatkan imuniti daripada sebarang tangkapan atau pendakwaan mahkamah atas tindakannya sepanjang menjawat jawatan itu.

Katanya, beliau berhak menikmati imuniti tersebut seperti dinikmati oleh seseorang duta atau pesuruhjaya tinggi.

Biarpun mendakwa dipaksa meletakkan jawatan sebagai pengarah AIAC, imuniti tersebut, menurutnya, tidak boleh dilucutkan secara sebelah pihak oleh kerajaan.

Beliau dipetik berkata demikian kepada The Malaysian Insight.

Sundra Rajoo kini dalam proses memohon perintah mahkamah tinggi bagi menghalang peguam negara daripada melakukan sebarang pendakwaan terhadapnya, selain menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada menahan atau mengenakan sebarang prosiding kehakiman terhadapnya.

Selain itu, beliau turut memohon pengesahan mahkamah bahawa imuniti tersebut tidak boleh dilucutkan.

Beliau menamakan Menteri Luar Negeri, Peguam Negara, SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam semakan kehakiman tersebut.

Sundra meletakkan jawatan pada November lalu susulan surat tidak bernama yang mengandungi beberapa tuduhan terhadapnya dihantar ke beberapa pihak termasuklah SPRM, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Surat tersebut menuduhnya menyalah guna wang kerajaan bagi mempengaruhi menteri untuk melanjutkan kontrak beliau selaku pengarah AIAC.

Berikutan itu, SPRM melakukan serbuan ke pejabat Sundra Rajoo dan menyoal beberapa kakitangannya.

Sundra meletakkan jawatan pada November tahun lalu ekoran tuduhan rasuah tersebut.

Beliau ditahan oleh SPRM pada 20 November tahun lalu tetapi Mahkamah Majistret Putrajaya menolak permohonan SPRM untuk meremannya selama tujuh hari. 

Peguam AIAC memberitahu, SPRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan Sundra Rajoo, seorang pegawai kanan yang dilindungi bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992.

Kerajaan dikatakan sedang mengambil langkah-langkah bagi mengetepikan imuniti Sundra.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS