KINIGUIDE | Penyertaan peserta LGBT di sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur semalam mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan tindakan menjadikan sambutan itu untuk mempertahankan hak LGBT adalah salah guna kuasa ruang demokrasi.
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menyindirnya seperti ‘perarakan yang menghairankan haiwan’.
Apakah isu yang dibawa lebih 300 yang berarak semalam? Apa yang telah dibuat peserta LGBT dan apa gesaan mereka?
Tentang perarakan
Perarakan dibuat sempena Hari Wanita Sedunia yang bertemakan "Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan".
Ia mempunyai lima tuntutan:
• Menamatkan semua keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual.
• Menghapuskan perkahwinan kanak-kanak.
• Memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh badan dan nyawa mereka sendiri.
• Memastikan gaji minimum RM1,800.
• Menghapuskan sikap patriarki dan membina demokrasi tulen di semua peringkat masyarakat.
Sepanjang perarakan, tuntutan-tuntutan ini terpapar di sepanduk yang dibawa dan dilaungkan berulang kali.
Apakah golongan LGBT turut menyertainya?
Di kalangan kira-kira 300 yang hadir, ada yang dilihat membawa bendera pelangi - simbol popular LGBT.
Ada juga yang membawa sepanduk menuntut layanan saksama terhadap LGBT, antaranya berbunyi "We exist" (kami ada) dan "People of qualiti do not fear equality" (Orang yang bagus tidak takutkan kesamarataan).
Benarkah ada laungan 'hidup LGBT'?
Benar. Laungan seperti "Jangan kacau LGBT" dan "Hidup LGBT" didengar ketika perarakan berlangsung.
Bagaimanapun kebanyakan laungan lebih bertumpu kepada tuntutan utama sambutan - menghapuskan keganasan terhadap wanita, rogol, gangguan seksual, perkahwinan kanak-kanak dan sikap patriarki.
Ada tuntutan 'hak LGBT' ketika perarakan?
Ucapan oleh seorang yang mengatakan dirinya wanita transgender membangkitkan pembunuhan transgender yang berlaku baru-baru ini dan menggesa keganasan dan diskriminasi berdasarkan gender ditamatkan.
Dia juga berkata golongan transgender mempunyai hak sebagai warga yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Dia berulang kali menafikan mereka menuntut sebarang hak atau layanan istimewa.
Ada juga yang berucap menggesa pengharaman perkahwinan kanak-kanak dan membangkitkan hak wanita Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), mahasiswi, pelarian dan pembantu rumah.
Benarkah dakwaan pihak yang mengatakan Sister in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) penganjurnya?
Salah. Menurut laman web rasmi program, ia dianjurkan oleh "gabungan longgar merangkumi pelbagai pihak termasuk kolektif, NGO dan individu".
SIS dan WAO juga memberitahu Malaysiakini bahawa tiada anggotanya yang berada dalam jawatankuasa penganjur.
Bagaimanapun mereka berkata menyokong penuh perarakan itu.
Bagaimana laporan yang mengatakan perarakan tiada permit polis?
Akta Perhimpunan Aman 2012 menyatakan penganjur perlu memaklumkan kepada polis sepuluh hari sebelum acara diadakan, tetapi tidak menyebut soal permit.
Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, jawatankuasa penganjur berkata ia telah memberitahu polis Dang Wangi pada 25 Februari, sepuluh hari sebelum perarakan diadakan.
Mereka berkata tidak menerima "bantahan atau komunikasi lanjut" daripada polis sebelum acara itu.
Sepanjang perarakan yang berlangsung dua setengah jam, sekurang-kurangnya sebuah kereta polis dan beberapa polis pengiring dilihat memantau peserta dan keadaan trafik.
Bagaimana penganjur berdepan bantahan?
Penganjur mengecam tindakan mereka yang hanya memberi tumpuan kepada peserta LGBT dalam perarakan itu.
"Ia seperti mencetuskan rasa benci terhadap segmen masyarakat yang sudah pun berdepan risiko dan pelbagai bentuk diskriminasi.
"Demokrasi yang sihat terletak kepada penyertaan penuh dan sama rata oleh semua peringkat masyarakat," katanya.
Penganjur turut menyalahkan media serta pihak yang menjadikan isu itu untuk kepentingan politik mereka.
KiniGuide ini disediakan oleh ANNABELLE LEE