Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas diminta henti cari alasan hantar balik sisa WLP ke Australia

Lynas Corporation Ltd (LYNAS) diminta berhenti daripada mencari alasan dan berdolak-dalik dalam isu penghantaran balik sisa 'Water Leached Purification' (WLP) yang dihasilkan kilang berkenaan ke Australia yang sepatutnya dilakukan sebelum September ini.

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, kilang gas nadir bumi berkenaan sepatutnya sudah jelas dengan pendirian Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berkenaan soal itu dan tidak menimbulkan isu lain termasuk berkenaan keperluan penyelidikan dilakukan terlebih dahulu terhadap sisa buangan itu.

" WLP tidak boleh ada penyelidikan... WLP ini adalah sisa radioaktif dan mesti diasingkan daripada ‘Neutralization Underflow Residue '(NUF) dan MESTECC sudah jelas mengeluarkan arahan bahawa Lynas mesti menghantar sisa itu kembali ke negara asal iaitu Australia.

“Berkenaan dengan NUF, perlu diadakan tapak pelupusan kekal (PDF) dan saya kira kawasan perindustrian Gebeng bukanlah satu kawasan yang sesuai kerana ia mesti dilakukan di kawasan yang tidak mempunyai sumber air bawah tanah," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian selepas program Santuni Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Pasar Tani Mega Kuantan, hari ini.

Fuziah berkata demikian sebagai mengulas tentang kajian Lynas dalam laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang menyatakan bahawa pihaknya berjaya membangunkan dua produk menggunakan sisa proses loji nadir bumi itu iaitu bahan asas jalan raya dan bahan pelupusan sampah serta pemulihan tanah dikenali sebagai CondiSoil.

CondiSoil itu dikatakan mengandungi gabungan WLP, NUF dan ‘filler material’ dengan komposisi 1:2:7 yang mampu mengurangkan kadar toksik aluminium di dalam tanah dan LYNAS dilaporkan bersedia mengkomersialkan produk itu setelah menerima kelulusan untuk Pengurusan Khas Sisa Terjadual daripada Jabatan Alam Sekitar.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Fuziah berkata, Lynas seharusnya fokus terhadap usaha untuk membawa sisa WLP itu pulang dan tidak terus bermain ‘wayang’ untuk mengaburi mata masyarakat.

"Saya fikir, lebih baik mereka terima hakikat bahawa mereka cuma ada enam bulan lagi untuk menyelesaikan masalah ini... sekarang bukan masa nak cari alasan atau bercakap tentang itu dan ini.

"...pihak MESTECC sudah melakukan yang terbaik untuk membantu LYNAS menghantar balik sisa buangan kilang itu ke Australia," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS