Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Penduduk PPR mahu saman pihak dedah kelas penerbangannya

Seorang penduduk yang diusir dari rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Georgetown, minggu lalu dilaporkan pernah menaiki penerbangan kelas perniagaan ke Colombo, Sri Lanka pada tahun 2014.

Walau bagaimanapun, Khalidah Nazir Ahmad, 63, berang hantarannya di Facebook yang memaparkan dia menaiki penerbangan MAS itu dengan suaminya menjadi tular di media sosial.

"Saya tidak mahu mengulas perkara itu, saya telah bercakap dengan peguam saya mengenai perkara itu,” kata Khalidah kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

"Hantaran di Facebook adalah urusan peribadi saya, bukankah bodoh untuk tanya saya mengenainya?" katanya.

Khalidah adalah antara 22 penduduk yang diusir kerana melanggar beberapa syarat dari rumah awam yang disewakan pada harga RM124 sebulan pada Rabu lalu.

Mereka didapati tidak lagi layak untuk mendiami di rumah berkenaan yang dikhaskan untuk golongan miskin tegar dengan pajakan lima tahun.

Sejak itu, Khalidah dan beberapa yang lain, termasuk beberapa kanak-kanak dan warga emas membantah dengan ‘berkampung’ di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk memaksa kerajaan negeri Pulau Pinang supaya membatalkan keputusan pengusiran berkenaan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, mendakwa ada pihak menghasut penduduk PPR Taman Manggis, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan yang turut menjejaskan usaha membantu mereka yang berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan untuk membantu penduduk yang diarah mengosongkan unit sewaan mereka itu.

“Mungkin proses untuk kita meyakinkan penduduk itu tidak mudah kita capai kerana (ada) pihak lain masuk untuk menyebarkan maklumat yang tidak berasas maka penduduk merasa khuatir dan tidak mahu bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan sekumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit sewaan di taman perumahan itu mengadakan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan arahan berkenaan.

Mengulas lanjut, Chow berkata, tindakan pengosongan itu tidak ada kaitan dengan perkauman tetapi berasaskan undang-undang sedia ada, selain penduduk juga diberikan tempoh yang mencukupi untuk mereka berbuat demikian.

Beliau juga berkata susulan pengeluaran notis itu, kerajaan negeri sudah menyediakan kediaman sementara bagi yang terbabit, namun sebilangannya terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu sehingga mengadakan demonstrasi.

Katanya, tujuh daripada 22 unit yang terbabit dalam arahan itu dapat diambil balik kerajaan negeri selepas penyewanya menyerahkan unit berkenaan secara sukarela.

“Mungkin proses bagaimana kita hendak menguatkuasakan sesuatu keputusan ini, kalau perlu ditambah baik lagi kita akan bersedia untuk mengkaji semula,” katanya.

Sebelum ini, Chow dilaporkan berkata penyewa PPR Taman Manggis diarah mengosongkan unit sewaan masing-masing selepas didapati melanggar syarat mendiami PPR itu, antaranya tinggal melebihi tempoh ditetapkan iaitu lima tahun selain ada yang menerima pendapatan melebihi kelayakan.

Beliau berkata majoriti penduduk yang diarah keluar adalah mereka yang telah tinggal di situ antara 10 hingga 11 tahun.

Sebanyak enam penyewa membabitkan kira-kira 40 ahli keluarga ‘menumpang’ di Komtar sejak Rabu lalu selepas diarah mengosongkan unit sewaan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS