Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemimpin Umno Nazri Abdul Aziz berkata beliau tiada masalah dengan pengumuman BN hari ini bahawa Tengku Adnan Mansor masih menjadi setiausaha agung gabungan itu.

"Tak apa, tak ada masalah. Saya okey," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Mohamad berkata Ku Nan kekal memegang jawatan itu sehinggalah beliau meletak jawatan atau diberhentikan.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media setelah mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang pertama kali dibuat selepas PRU ke-14.

Nazri yang juga anggota Parlimen Padang Rengas bagaimanapun berkata beliau mengharapkan bekas naib presiden Umno, Hishamuddin Hussein memegang jawatan itu.

“Saya sebenarnya mengharapkan Hishamuddin untuk jadi setiausaha agung, sebab Hishamuddin pun tidak ada sebarang jawatan buat masa ini.

“Dan dia pun sebelum ini sama-sama jadi ketua pemuda dengan Wee Ka Siong dengan Vigneswaran, malah Hishamuddin juga adalah bekas naib presiden, bekas menteri yang agak lama macam saya.

“Tapi tak apalah kalau Tengku Adnan pun okey," katanya lagi.

Pelantikan Nazri diumum tahun lalu oleh pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan di perhimpunan agung MIC pada 27 Oktober lalu.

 Bagaimanapun MCA dan MIC berkata lantikan itu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan perlembagaan BN, yang mewajibkan pengerusi memaklumkan lantikan itu kepada majlis tertinggi.

Selepas ahli majlis tertinggi BN bermesyuarat pagi ini, Mohamad berkata pelantikan itu tidak pernah dimuktamadkan dan jawatan berkenaan kekal disandang Tengku Adnan.

Mengulas lanjut, Nazri berkata beliau sama sekali tidak akan merajuk dengan apa yang berlaku dan beliau sememangnya tidak suka memegang jawatan.

“Saya tak akan merajuk, sebab sebelum ini pun saya tak pernah kalah dalam mana-mana pilihan raya, jadi saya sentiasa merasakan berjiwa besar dan saya tidak pernah rasa kecewa.

"Dari dulu saya tak suka berjawatan. Sebelum ini orang minta tanding ketua pemuda saya tak nak, dan sudah 15 tahun saya tak bertanding untuk majlis tertinggi. Saya tak suka berjawatan, tak suka terikat dengan mana-mana jawatan yang boleh mengikat pandangan bebas saya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS