Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata kajian terkini menunjukkan keperluan bahasa Mandarin hanya dijadikan alasan untuk mengambil pekerja kaum Cina.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata demikian ketika merujuk tinjauan Kajian Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) semalam.
"Kajian oleh Cent-GPS telah membuktikan bahawa wujudnya diskriminasi pekerjaan yang besar di sektor swasta.
"Sebagai contoh keperluan untuk bertutur bahasa Mandarin sebenarnya hanya alasan untuk menawarkan pekerjaan kepada kaum Cina saja," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) membentangkan kajian yang menunjukkan orang Cina lebih mudah mendapat temuduga di sektor swasta, berbanding orang Melayu dan India.
Kajian itu juga menunjukkan wanita tak bertudung lebih mudah dipanggil temuduga daripada mereka yang bertudung.
Menurut Pengarah Cent-GPS Zaidel Baharuddin, kajian itu dibuat dengan menghantar resume menggunakan tujuh nama - tiga Melayu, dua Cina dan dua India - dengan kelayakan yang sama.
Katanya lagi, setiap nama menghantar 547 resume kepada syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada pemegang ijazah.
Mengulas lanjut, Ahmad Yazid berkata pihaknya sudah lama maklum dengan perkara itu.
Beliau menggesa kerajaan agar mengambilo tindakan terhadap majikan yang melakukan diskriminasi berkenaan.
"Dengan adanya kajian (Cent-GPS) dengan situasi politik sekarang, saya berharap ia akan diambil tindakan," katanya lagi.
Cent-GPS ialah sebuah badan yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.
Menurut laman web Cent-GPS, senator Umno Khairul Azwan Harun antara pihak di belakang badan itu.