Paling Popular
Terkini

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini mengingatkan pemimpin parti itu agar berhati-hati semasa memberi kenyataan, terutama ketika mereka bakal berdepan PRK Rantau tidak lama lagi.

Bagaimanapun bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menegaskan Umno tidak akan mengeluarkan arahan supaya mana-mana pemimpin atau anggota parti menutup mulut.

Katanya sebagai pemimpin mereka sepatutnya tahu apa kenyataan atau pandangan yang boleh menguntungkan parti dan negara.

"Kami tidak ada sebarang arahan menutup mulut untuk sesiapa. Ini negara bebas, demokratik dan sesiapa saja boleh cakap apa mereka mahu.

"Tapi sebagai pemimpin mereka patut tahu apa yang mereka nak cakap, sama ada ia merosakkan parti atau negara, atau tidak," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Mohamad mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Pada sidang media itu juga beliau secara rasmi mengumumkan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau yang akan menyaksikan PRK pada 13 April ini.

Tarikh penamaan calon ialah pada 30 Mac.

Menurut Mohamad tiada arahan khusus dikeluarkan ke atas mana-mana anggota parti atau pemimpin Umno.

Namun katanya dalam keadaan PRK Rantau yang semakin hampir semua anggota Umno wajar lebih berhati-hati.

Sebelum itu beliau ditanya sama ada mesyuarat hari ini ada mengeluarkan arahan kepada pemimpin atau ahli Umno supaya tidak memberi kenyataan yang merugikan BN.

Antaranya, sikap Setiausaha Agung BN Nazri Aziz, yang mebuat kenyataan tidak disenangi parti komponen gabungan itu sendiri, MCA, semasa kempen PRK Semenyih.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS