Paling Popular
Terkini

Barisan pembangkang di Dewan Rakyat kini mendapat ketua baru.

Diumumkan hari ini oleh Mohamad Hasan, pemangku presiden Umno itu berkata tugas yang dikosongkan oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diisi Anggota Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob.

Kata Mohamad pemilihan Ismail Sabri dibuat berdasarkan kekananan bekas menteri dari Pahang itu berbanding anggota parlimen lain.

"Jawatan ketua whip - yang kini disandang Ismail Sabri - akan diserahkan kepada Anggota Parlimen Padang Terap, Mahdzir Khalid," katanya.

Mohamad berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti itu hari ini.

Untuk rekod Ismail Sabri ialah naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu, manakala Mahdzir ialah seorang lagi naib presiden yang berada dalam Dewan Rakyat.

Seorang lagi naib presiden ialah bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin.

Mohamad dan Khaled masing-masing tidak mempunyai kerusi di parlimen.

Pengumuman itu dibuat dua hari sebelum sidang Dewan Rakyat bersambung semula Isnin ini.

Ditanya reaksi Ahmad Zahid mengenai pelantikan Ismail Sabri, Mohamad sekadar tersenyum dan memberi jawaban ringkas: "Syukur alhamdulillah".

Menurut beliau keputusan untuk melantik Ismail Sabri dipersetujui semua parti BN serta rakan mereka dalam blok pembangkang, termasuk PAS.

"Apabila kami memutuskan untuk membuat pelantikan (ketua pembangkang baru), kami menghubungi semua anggota BN," katanya.

Untuk rekod Ahmad Zahid dilantik menjadi ketua pembangkang pada 16 Jul tahun lalu selepas BN gagal membentuk kerajaan pusat.

[Baca berita lanjut]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS