Paling Popular
Terkini

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan penemuan mayat kanak-kanak perempuan yang sebelum ini dilaporkan hilang di Langkawi sebagai tragedi.

Pasangan suami isteri yang merupakan suspek utama kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah memberitahu polis bahawa kanak-kanak perempuan itu mengalami sawan ketika dimandikan.

Polis sebelum ini mendedahkan bahawa suspek lelaki memasukkan mayat kanak-kanak perempuan berkenaan dalam beg dan mnmbuangnya di Gunung Raya di Langkawi.

"Ini ada yang tidak kena dalam masyarakat kita yang membuatkan penjaga tinggalkan begitu sahaja apabila menghadapi masalah atau panik," kata Wan Azizah ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata kerajaan menggalakkan pemberian suntikan imunisasi kepada kanak-kanak walaupun buat masa ini tiada langkah atau peraturan yang mewajibkan ibu bapa berbuat demikian.

"Itu pilihan ibu bapa namun kita mengesyorkan lindungilah anak-anak dengan vaksin sebelum penyakit itu terkena (anak-anak)," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa vaksin dan hak kepada pendidikan adalah isu berbeza susulan cadangan sesetengah pihak supaya kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan imunisasi dilarang ke sekolah.

Terdahulu, beliau hadir melancarkan kad orang kurang upaya (OKU) baharu bagi Subkategori Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2).

Mengenai kad OKU baharu itu, Wan Azizah berkata ia dikeluarkan khusus mengikut enam subkategori di bawah OKU pembelajaran iaitu Global Development Delay (GDD), Sindrom Down, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autisme, Intelektual dan Specific Learning Disability (LD).

Katanya pengkhususan itu memudahkan kanak-kanak dengan masalah tersebut dikenal pasti oleh guru untuk dipadankan dengan kaedah pembelajaran yang sesuai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS